PETALING JAYA: Beregu campuran muda negara, Wee Yee Hern-Vanee Gobi menjulang gelaran pada Kejohanan Badminton Antarabangsa India Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.
Pasangan yang menghuni ranking No. 61 dunia itu mengetepikan beregu pecah ganding Indonesia, Jafar Hidayatullah-Rinjani Kwinnara Nastine 21-17, 21-17 dalam masa 35 minit pada perlawanan akhir.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa dan kemenangan yang dicatat Yee Hern-Vanee itu adalah kejayaan pertama mereka ke atas gandingan negara tetangga tersebut.
Kemenangan itu juga merupakan kejayaan sulung Yee Hern-Vanee pada kejohanan berstandard Super 300.
Beregu tersebut turut berjaya mengekalkan permainan konsisten tanpa melepaskan walau satu set sejak peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Syed Modi.
Apa yang lebih menarik, Yee Hern-Vanee merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas memenangi Kejohanan Kaohsiung Masters di Taiwan, dua minggu lalu.
Selaku juara, Yee Hern-Vanee membawa pulang wang tunai bernilai AS$19,750 (RM81,383) berserta pingat emas.
Pencapaian cemerlang yang diukir gandingan berusia 22 dan 21 tahun itu sekurang-kurangnya menceriakan kembali sektor beregu campuran yang gagal melakar sebarang keputusan positif sejak Toh Ee Wei dilanda kecederaan anterior cruciate ligament (ACL). – UTUSAN











