Kerjasama korporat perlu bermula dengan nilai bersama, bukan sekadar minta dana 

Kerjasama korporat perlu bermula dengan nilai bersama, bukan sekadar minta dana 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBINA kerjasama dengan sektor korporat memerlukan perubahan pendekatan daripada sekadar meminta penajaan atau dana, kepada menawarkan nilai bersama yang sejajar dengan keutamaan serta petunjuk prestasi utama (KPI) syarikat.

Pendekatan itu penting bagi menyokong agenda pemerkasaan sektor ketiga seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Dasar Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMY 2030), supaya inisiatif ekonomi sosial tidak bergantung semata-mata kepada geran atau sumbangan kebajikan.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif JME Group, Jamie Loh berkata, dalam ekosistem ekonomi sosial, organisasi komuniti, perusahaan sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memahami bahawa syarikat mempunyai sasaran perniagaan tersendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, banyak organisasi sosial datang membawa cadangan projek atau masalah mereka sendiri tanpa terlebih dahulu memahami keperluan sebenar syarikat yang didekati.

“Membina hubungan dengan pihak korporat diibaratkan seperti proses mendekati pasangan yang bermula dengan saling mengenali sebelum menuju kepada kerjasama jangka panjang.

“Syarikat besar mempunyai keutamaan dan KPI masing-masing. Sebelum membentangkan cadangan, kita perlu mendengar dan bertanya soalan untuk memahami apa yang mereka perlukan serta bagaimana kita boleh membantu mencapai matlamat tersebut.

“Apabila kita jelas dengan tujuan organisasi, merangka pelan yang tersusun serta mencipta cadangan secara bersama, hubungan yang terjalin akan lebih kukuh dan berterusan selepas persetujuan dimeterai,” katanya pada Forum Sektor Ketiga dan Ekonomi Sosial (mySDG) 2026 baru-baru ini.

Jamie Loh berkata, kepercayaan sebenar hanya teruji apabila organisasi berjaya melaksanakan tugasan yang dijanjikan, berkomunikasi secara konsisten serta menilai impak bersama rakan kongsi.

“Keadaan itu selari dengan penekanan tadbir urus dan penyampaian impak terukur dalam ekosistem keusahawanan sosial agar usaha komuniti tidak sekadar menjadi projek jangka pendek.

“Pengalaman menguruskan pelbagai acara, kempen dan inisiatif komuniti termasuk projek sifar sisa menunjukkan sumber tempatan dan inovasi boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan nilai dikongsi bersama,” ujarnya.

Sementara itu, Perunding Kelestarian dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Bureau Veritas Malaysia, Wafa Abdul Aziz berkata, pemilihan rakan komuniti oleh sektor korporat lazimnya berasaskan penjajaran tujuan, penilaian latar belakang, keupayaan penyampaian serta perancangan yang jelas.

Beliau berkata, dalam proses rundingan awal, organisasi komuniti sering membawa idea yang baik namun pihak korporat turut menilai sama ada mereka mempunyai pasukan dan keupayaan pelaksanaan yang meyakinkan.

“Proses usaha wajar perlu dilaksanakan secara seimbang mengikut skala dan risiko kerjasama agar tidak menjadi penghalang kepada organisasi komuniti berskala kecil.

“Organisasi kecil mungkin mempunyai sumber atau kepakaran teknikal yang terhad, tetapi mereka memiliki kekuatan besar dari segi jaringan komuniti, pengetahuan setempat serta kepercayaan masyarakat yang disantuni.

“Daripada hanya menumpukan kepada apa yang diperlukan daripada syarikat, organisasi komuniti perlu menonjolkan nilai yang boleh dibawa bersama ke meja rundingan,” katanya.

Wafa berkata, kerjasama antara pakar teknikal dan penggerak komuniti mampu memudahkan pemahaman serta pelaksanaan amalan kelestarian agar lebih praktikal dan memberi manfaat menyeluruh.

“Keadaan itu sekali gus menyokong usaha bimbingan dan pembangunan kapasiti yang digerakkan pelbagai agensi bagi memarusperdanakan sektor ketiga di bawah kerangka pembangunan negara.

“Apabila kepakaran penilaian dan kelestarian digabungkan dengan kefahaman komuniti akar umbi, pendekatan kerjasama menjadi lebih tersusun dan memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah mySDG Academy, APPGM-SDG, Zoel Ng berkata, cabaran utama dalam menjalin kerjasama pasaran sering berpunca daripada ketidaksepadanan kapasiti, kualiti produk dan pembungkusan yang belum memenuhi keperluan pembeli.

Beliau berkata, NGO atau perusahaan sosial yang ingin menjana pendapatan melalui produk perlu memastikan aspek pembungkusan, penceritaan impak serta keupayaan penyampaian yang konsisten bagi menarik keyakinan pasaran dan penaja.

“Masalahnya bukan semata-mata kekurangan dana di pasaran, tetapi kesiapsiagaan kapasiti untuk menyampaikan sesuatu dengan teratur dan meyakinkan.

“Pembangunan kapasiti perlu lebih berstruktur merangkumi penyediaan kertas cadangan, profil organisasi serta pengukuran impak, selain merangka program secara bersama agar benar-benar menjawab keperluan komuniti di lapangan.

“Jika kita hanya membawa produk tanpa penceritaan dan pembungkusan yang jelas, sukar untuk pembeli atau rakan korporat melihat nilai sebenar inisiatif komuniti tersebut,” katanya.

Tambahnya, contoh komuniti luar bandar yang membangunkan sistem pengurusan air komuniti dan pertanian secara bersama membuktikan bahawa pemilikan komuniti serta penceritaan yang jelas mampu membuka peluang sokongan dan pendapatan lebih mampan.

“Apabila komuniti mempunyai rasa pemilikan terhadap projek seperti pengurusan bekalan air dan tanaman komuniti, inisiatif tersebut lebih mudah dikekalkan dan berpotensi menarik sokongan lanjutan termasuk geran atau peluang ekonomi baharu.

“Pengukuhan keupayaan operasi dan pembuktian impak sedemikian juga seiring dengan keperluan akreditasi serta akses pembiayaan yang lebih tersusun bagi membolehkan perusahaan sosial berkembang melangkaui skala bantuan jangka pendek,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini