ISLAMABAD: Pertukaran mesej tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) menerusi perantaraan Qatar serta Pakistan masih berterusan, namun kini bergerak pada kadar lebih perlahan, kata Duta Besar Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam.
Dalam temu bual eksklusif bersama rangkaian berita CNN, beliau turut memberi amaran Teheran mempunyai lebih banyak kejutan untuk dunia sekiranya diserang semula, selain memaklumkan negara itu belum membuat keputusan untuk menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
“Mesej terus bertukar melalui Qatar dan Pakistan. Negara-negara ini mengemukakan cadangan serta idea dan kami menilainya, malah Menteri Luar kami turut terlibat dalam rundingan ini,” katanya.
Beliau mengakui rentak komunikasi tidak langsung itu semakin perlahan berbanding sebelum ini.
Menurut beliau, Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad yang ditandatangani pada Jun lalu bagi menamatkan perang kekal menjadi asas rundingan antara Teheran dan Washington.
Mengulas konflik bersama AS dan Israel yang disifatkannya sebagai perjuangan demi kelangsungan hidup, Amiri Moghadam menegaskan Iran memiliki pelbagai pilihan tindak balas sekiranya kedua-dua negara berkenaan melancarkan serangan baharu.
“Kami tidak berdiam diri sepanjang tahun lalu dan telah membuat semua persiapan perlu.
“Semasa perang selama 40 hari yang bermula Februari lalu, kami mengejutkan dunia dengan keupayaan peluru berpandu kami dan jika berlaku serangan baharu, akan ada lebih banyak kejutan,” ujarnya.
Memetik laporan agensi berita rasmi Iran, IRNA, beliau menegaskan Teheran bersedia untuk rundingan yang adil, seimbang dan menang-menang, namun akan memberikan tindak balas tegas terhadap sebarang pencerobohan sebagaimana yang berlaku dalam perang 12 hari dan 40 hari sebelum ini.
Tambahnya, Iran mengutamakan keselamatan yang dijana dari dalam rantau itu sendiri serta menolak sebarang campur tangan AS dalam hal ehwal keselamatan serantau.
Ditanya mengenai kemungkinan Iran keluar daripada NPT, Amiri Moghadam memaklumkan belum ada keputusan muktamad dibuat biarpun tekanan rakyat di dalam negara semakin meningkat kerana berpandangan penyertaan dalam perjanjian itu tidak membawa sebarang manfaat konkrit kepada Teheran. -AGENSI











