KANGAR: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan berjumlah RM46,000 buat jaguh angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang ditimpa musibah kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, bantuan itu merangkumi Bantuan Prihatin Atlet secara one-off sebanyak RM10,000 serta Elaun Sokongan Pemulihan Atlet sebanyak RM1,000 sebulan selama tiga tahun.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan itu atas pengorbanan serta keringat yang dicurahkan Hafizuddin demi membawa nama negeri dan negara.
“Pembayaran elaun sokongan pemulihan ini akan bermula pada Januari depan hingga Disember 2029.
“Seluruh Dewan yang mulia ini berdiri teguh di sisi beliau dengan iringan doa agar wira kebanggaan kita dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesembuhan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perlis 2027 pada Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 (Mesyuarat Bajet 2027) di Kompleks Seri Putra, di sini, petang ini.
Hafizuddin sebelum ini menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan serius ekoran kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan tangan kanannya terpaksa dipotong.
Hafizuddin pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram menerusi 162 kilogram acara snatch dan 183 kilogram acara clean and jerk.
Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan. – UTUSAN











