HANOI: Sebuah menara pencakar langit menjadi antara tiga projek pembangunan berjenama Trump yang dirancang di Vietnam.
Perniagaan keluarga Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum ini sudah memiliki rangkaian hartanah berjenama Trump di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Ireland, India dan Indonesia.
Ketiga-tiga projek di Vietnam itu dibangunkan tanpa melibatkan sebarang kos kepada Trump Organisation, yang memperoleh pendapatan menerusi penggunaan jenamanya, yuran pengurusan operasi dan penjualan hartanah.
Menurut tiga individu yang mengetahui projek terbaharu itu, Trump Tower di Hanoi merupakan pembangunan terkini yang dirancang rakan niaga Vietnam kepada Trump Organisation.
Sebuah kompleks golf berjenama Trump bernilai AS$1.5 bilion (RM6 bilion) turut dibangunkan berhampiran Hanoi, selain sebuah lagi menara Trump yang dirancang di Ho Chi Minh City, menurut individu yang terlibat dalam projek berkenaan.
Pegawai kerajaan Vietnam mengadakan pertemuan dengan rakan niaga Trump Organisation, termasuk Kinh Bac City Development Holding, pada Khamis bagi membincangkan projek di Hanoi, menurut dua sumber.
Pertemuan itu berlangsung tidak lama selepas Washington mengumumkan kemungkinan mengenakan tarif baharu sehingga 35 peratus ke atas Vietnam.
Susulan pengumuman tarif itu, Kementerian Perdagangan Vietnam memaklumkan kedua-dua negara sedang berusaha memuktamadkan perjanjian perdagangan ‘secepat mungkin’, selain menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam siasatan AS berhubung lebihan kapasiti pengeluaran.
Pegawai AS berkata, perjanjian perdagangan itu berpotensi membolehkan Vietnam dikenakan tarif sebanyak 20 peratus, lebih tinggi berbanding kadar duti umum sedia ada iaitu 12.5 peratus dan sedikit melebihi kadar yang dikenakan terhadap negara pesaing serantau.
Bagaimanapun, kadar itu masih jauh lebih rendah berbanding ancaman tarif 35 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Dalam sidang media pada Mei lalu, bekas Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt memberitahu wartawan bahawa Presiden Donald Trump meletakkan perniagaannya di bawah amanah buta (blind trust) sebaik memegang jawatan pada 2017.
Perniagaan itu kekal di bawah kawalan keluarganya, termasuk dua anak lelakinya yang sudah dewasa, Eric Trump dan Donald Trump Jr.
Dua sumber berkata, Trump Tower di Hanoi akan dibina di pinggir barat Tasik Barat, kawasan mewah di ibu negara Vietnam itu yang menjadi kediaman eksekutif syarikat asing dan diplomat.
Menurut seorang sumber, pembinaan projek itu dijangka bermula pada penghujung 2027 atau 2028, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Pelan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa mencadangkan pembinaan menara setinggi sekurang-kurangnya 60 tingkat dengan anggaran kos AS$1 bilion (RM4.12 bilion).- AGENSI











