PETALING JAYA: Pelakon, Zila Bakarin mendedahkan pernah mengalami masalah cakera tergelincir atau slip disc pada bahagian tulang belakang L5 sebelum mengambil keputusan untuk membuat pembedahan.
Zila atau Rosmawati Bakarin, 51, berkata, dia sukar melakukan sebarang pergerakan kerana berasa sakit setiap kali berbaring, duduk atau berjalan.
“Saya pernah mengalami slip disc L5 dan ketika itu semua perkara terasa serba tidak kena. Berbaring tidak boleh, berjalan sakit dan duduk juga sakit.
“Sampai satu tahap, saya terpaksa tidur berdiri sambil berpaut pada meja yang tinggi. Setiap hari saya menangis kerana terlalu sakit. Sakit sangat,” katanya menerusi satu balasan komen di Threads.
Selepas melalui keadaan itu, Zila akhirnya membuat keputusan untuk menjalani pembedahan pada 2023 bagi menangani masalah slip disc yang dialaminya.
Katanya, keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas pembedahan berkenaan, namun pergerakannya masih terbatas.
“2023 saya ambil keputusan untuk lakukan pembedahan. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya sudah baik. Cuma pergerakan masih terbatas dan saya mengambil makanan tambahan untuk membantu proses pemulihan,” katanya. – UTUSAN











