PETALING JAYA: Orgabio Holdings Berhad (Orgabio), pengeluar pracampuran minuman segera terkemuka di Malaysia, mencatatkan keuntungan bersih RM2.1 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (S1 TK2027), disokong peningkatan margin keuntungan kasar dan kecekapan operasi lebih baik.
Menurut syarikat itu, walaupun keuntungan bersih itu menyusut berbanding RM2.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, kumpulan berjaya meningkatkan margin keuntungan kasar kepada 19.68 peratus daripada 17.03 peratus, mencerminkan keupayaan mengawal kos pengeluaran ketika berdepan penyederhanaan jualan domestik.
“Bagi suku berkenaan, pendapatan kumpulan berjumlah RM32.1 juta berbanding RM39.1 juta pada S1 TK2026, susut 17.73 peratus berikutan hasil lebih rendah daripada perkhidmatan pembuatan pracampuran minuman segera untuk pemilik jenama pihak ketiga, khususnya dalam pasaran domestik.
“Bagaimanapun, keuntungan kasar hanya menyusut 4.95 peratus kepada RM6.3 juta, disokong kestabilan harga bahan mentah, ekonomi skala lebih baik serta peningkatan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasaran luar negara terus menjadi pemacu pertumbuhan apabila hasil eksport meningkat 5.83 peratus kepada RM14.5 juta berbanding RM13.7 juta sebelumnya.
Katanya, sumbangan hasil luar negara kepada pendapatan kumpulan turut meningkat kepada 45 peratus daripada 35 peratus pada tahun lalu, manakala pasaran domestik menyumbang RM17.7 juta.
“Dari perspektif suku ke suku, pendapatan kumpulan meningkat 2.72 peratus kepada RM32.1 juta berbanding RM31.3 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 (S4 TK2026), disokong prestasi jualan lebih baik dalam pasaran domestik.
“Keuntungan kasar turut meningkat 3.55 peratus kepada RM6.3 juta daripada RM6.1 juta, manakala margin keuntungan kasar bertambah kepada 19.68 peratus berbanding 19.52 peratus.
“Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) susut kepada RM3 juta daripada RM3.5 juta, terutama disebabkan kos operasi lebih tinggi sepanjang suku berkenaan,” katanya.
Dari aspek aliran tunai, Orgabio mencatatkan perkembangan positif apabila tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah RM1.4 juta, berbanding aliran keluar tunai bersih RM1.1 juta pada S1 TK2026.
“Peningkatan itu sebahagiannya disokong pengurangan inventori kepada RM11.6 juta berbanding RM15 juta pada 30 Jun 2026.
“Kedudukan kewangan kumpulan turut kekal kukuh dengan jumlah aset RM99.9 juta dan ekuiti pemegang saham RM72.4 juta setakat 30 September 2026, meningkat daripada RM71.5 juta pada akhir Jun lalu.
“Tunai dan kesetaraan tunai meningkat lebih dua kali ganda kepada RM14.1 juta berbanding RM6.2 juta pada 30 September 2025, sekali gus melebihi jumlah pinjaman kumpulan yang berjumlah RM7 juta,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Orgabio Holdings Berhad, Ean Yong Hien Voon, berkata kumpulan optimis dengan peningkatan keuntungan kasar dan kecekapan operasi yang dicapai pada suku pertama tahun kewangan 2027.
Beliau berkata, meskipun jualan domestik lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, kumpulan berjaya memperluas margin keuntungan kasar, meningkatkan perniagaan luar negara serta kembali mencatatkan aliran tunai operasi positif.
“Kedudukan tunai yang melebihi jumlah pinjaman serta kunci kira-kira lebih kukuh meletakkan kumpulan pada kedudukan baik untuk mempererat hubungan dengan pemilik jenama sedia ada, memperoleh pelanggan baharu dalam pasaran domestik dan antarabangsa serta meningkatkan keupayaan pembuatan dan pembangunan produk,” katanya.
Mengulas prospek, Orgabio kekal positif terhadap perkembangan industri pracampuran kopi dan minuman global, disokong permintaan pengguna terhadap produk kopi mudah disediakan serta kepelbagaian pilihan minuman berasaskan kopi.
“Kumpulan akan terus memperkukuh hubungan pelanggan sedia ada, mendapatkan peluang perniagaan baharu dan memperluas pangkalan pelanggan di dalam serta luar negara, selain mengoptimumkan kecekapan pengeluaran dan melaksanakan pengurusan kos berhemat bagi menangani risiko turun naik harga bahan mentah serta peningkatan kos operasi,” katanya.
Lembaga Pengarah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.-UTUSAN











