KUCHING: Nilai hartanah di Kuching berpotensi meningkat dengan ketara dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong pembangunan pesat kawasan sekitar, kemasukan pelaburan berskala besar serta pelaksanaan projek infrastruktur utama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, potensi kenaikan itu mencerminkan perubahan landskap pembangunan Kuching dalam tempoh sedekad lalu, apabila kawasan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kini menyaksikan pertumbuhan pesat menerusi pembangunan kediaman dan kemudahan sokongan.
Menurutnya, kira-kira 4,800 unit apartmen telah dibangunkan di kawasan berkenaan sepanjang 10 tahun lalu, manakala lebih 100,000 unit apartmen lagi sedang dibangunkan, sekali gus menggambarkan potensi pertumbuhan sektor hartanah di kawasan itu.
“Harga hartanah di kawasan berkenaan kira-kira 10 tahun lalu hanya sekitar 25 peratus daripada nilai semasa, menunjukkan peningkatan ketara susulan perkembangan pembangunan dan aktiviti ekonomi.
“Kehadiran IKEA di Kuching turut mencerminkan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan kawasan berkenaan, selain berupaya meningkatkan daya tarikan komersial dan kediaman di sekitarnya,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pembukaan rasmi IKEA Kuching di sini semalam.
Menurut beliau, prospek sektor hartanah itu dijangka terus diperkukuh menerusi pembangunan sistem Transit Rapid Autonomi (ART) yang menggunakan teknologi hidrogen dan tenaga hijau dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Selain meningkatkan keterhubungan, pembangunan infrastruktur berkenaan berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan nilai komersial kawasan yang menerima manfaat daripada kemudahan pengangkutan tersebut.
“Kewujudan kemudahan pendidikan seperti sekolah antarabangsa turut menjadi antara faktor yang meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan kepada pembeli hartanah, pelabur dan golongan profesional,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh pengumuman pelaburan bernilai AS$50 bilion (kira-kira RM200 bilion) yang disifatkan sebagai perkembangan besar kepada prospek ekonomi Sarawak.
Ujarnya, pelaburan dalam sektor teknologi berpotensi mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan untuk jurutera dan graduan dalam pelbagai bidang, sekali gus merangsang permintaan terhadap hartanah kediaman serta kemudahan komersial.
“Pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan kemasukan tenaga kerja profesional dijangka meningkatkan aktiviti pasaran hartanah, khususnya di Kuching yang berpotensi berkembang sebagai pusat pertumbuhan baharu.
“Sehubungan itu, pembangunan infrastruktur, kemasukan pelaburan dan peningkatan peluang pekerjaan dijangka menjadi pemangkin utama kepada perkembangan sektor hartanah Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN








