VALENCIA: Marc Marquez mengesahkan perlumbaan terakhirnya dalam MotoGP adalah Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini, sekali gus menamatkan karier selepas lapan kali menjulang gelaran dunia kelas premier.
Juara dunia lapan kali itu mengumumkan keputusan berkenaan hari ini, seminggu selepas merangkul gelaran MotoGP di Portugal untuk menyamai rekod legenda Giacomo Agostini dengan lapan kejuaraan dunia kelas premier.
“Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Saya berharap anda menikmatinya seperti saya. Ini akan menjadi perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP. Kita sudah mencipta sejarah,” katanya menerusi kenyataan video di garaj pasukan di Valencia.
Marquez, yang meraih enam gelaran dunia bersama Honda sebelum beralih ke Ducati, sebelum ini menandatangani lanjutan kontrak bersama pasukan Itali itu sehingga 2028 pada Jun lalu.
Keputusan mengejut itu turut mengundang emosi dalam kalangan anggota pasukan Ducati dan peminat di litar apabila mereka mengetahui pelumba Sepanyol itu akan beraksi buat kali terakhir di Litar Ricardo Tormo, hujung minggu ini.
Ducati turut mengesahkan keputusan berkenaan menerusi kenyataan rasmi, dengan menyifatkan GP Valencia 2026 sebagai perlumbaan terakhir Marquez sebagai pelumba profesional serta bersama Ducati Lenovo Team.
“Marc Marquez memutuskan untuk bersara daripada MotoGP dan GP Valencia 2026 akan menjadi perlumbaan terakhirnya sebagai pelumba profesional serta bersama Ducati Lenovo Team,” kata pasukan itu dalam kenyataan hari ini. – AGENSI











