Walaupun tuntutan sivil itu hanya melibatkan Belanda, keputusan mahkamah di Amsterdam berpotensi menjadi yang pertama ketika bantahan orang ramai, larangan penggunaan di premis tertentu dan amaran pengawal selia semakin meningkat di seluruh dunia.
Keputusan dijangka dibuat selewat-lewatnya pada 24 Disember.
Kumpulan yang terlibat termasuk persatuan pengguna utama Belanda, Consumentenbond dan Offlimits, badan yang memperjuangkan usaha membanteras penderaan seksual dalam talian.
Kumpulan itu mendakwa cermin mata pintar yang dibangunkan Meta bersama pemilik jenama Ray-Ban, EssilorLuxottica, melanggar undang-undang privasi serta menyebabkan orang ramai sentiasa bimbang dirakam di tempat awam, sekali gus menjejaskan kebebasan sosial.
Plaintif mahu Meta menghalang penggunaan cermin mata itu untuk merakam orang tanpa pengetahuan mereka, menghentikan penggunaan rakaman bagi melatih model AI serta menangguhkan penjualan sehingga syarikat mematuhi undang-undang.
Mereka turut memohon penalti sebanyak 100,000 euro (RM451,729) sehari bagi setiap defendan jika gagal mematuhi arahan mahkamah, dengan jumlah maksimum 100 juta euro (RM452 juta).
Peguam Offlimits, Karlijn Han berkata, cermin mata itu digunakan untuk merakam gambar atau video secara tersembunyi, yang disifatkannya sebagai ‘creep shots’.
“Rakaman secara rahsia sudah pasti turut dilakukan ketika peperiksaan, di bilik persalinan, kolam renang, bilik hotel dan hospital, selain taman permainan serta pantai.
“Setiap pencerobohan privasi lebih buruk daripada sebelumnya,” katanya dalam kenyataan pembukaan di mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Meta, Bastiaan Kemp meminta mahkamah menolak tuntutan itu dengan alasan langkah yang diminta akan menjejaskan pengguna yang menggunakannya secara sah, merosakkan kedudukan persaingan Meta serta menyerupai penarikan produk daripada pasaran tanpa menyelesaikan kebimbangan terhadap peranti seumpamanya.
“Pengeluar produk tidak boleh dipertanggungjawabkan atas setiap penyalahgunaan yang dilakukan secara sengaja,” katanya.
Beliau berkata lampu rakaman pada bingkai cermin mata itu membolehkan orang ramai mengetahui apabila rakaman sedang dilakukan.
Kemp turut menafikan dakwaan peguam Consumentenbond di mahkamah bahawa Meta memproses imej yang dirakam cermin mata pintar itu di Eropah atau menggunakannya untuk melatih model AI dengan melanggar undang-undang Eropah.
Meta dan rakan pengeluarnya, EssilorLuxottica, menjual lebih tujuh juta cermin mata pintar pada 2025, menguasai kira-kira 80 peratus pasaran global.
Peguam EssilorLuxottica pula berhujah syarikat itu tidak memproses atau mempunyai akses kepada rakaman berkenaan, selain menyifatkan larangan penjualan sebagai tidak seimbang dan tidak berkesan kerana produk serupa turut dijual pengeluar lain.










