PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.04 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027, berbanding kerugian RM9,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong peningkatan sumbangan segmen Teknologi Pengguna Mampan.
Bagi suku berakhir 30 September 2026, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM1.60 juta berbanding RM516,000 pada suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Sedania Innovator, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, kumpulan akan terus memperkukuh perniagaan jenama pengguna selain memperluas penyelesaian fintech menerusi kerjasama strategik.
“Kumpulan mahu meningkatkan penawaran produk serta bekerjasama dengan lebih banyak rakan strategik bagi meluaskan manfaat penyelesaian teknologi kewangan patuh syariah,” katanya.
Bagaimanapun, berbanding suku sebelumnya, keuntungan selepas cukai kumpulan susut 54 peratus kepada RM1.60 juta daripada RM3.47 juta, terutama disebabkan peruntukan cukai lebih tinggi dan kerugian daripada syarikat bersekutu sebanyak RM1.20 juta.
Daripada jumlah kerugian syarikat bersekutu itu, sebanyak RM1.17 juta berkaitan pelarasan susulan pemuktamadan penyata kewangan beraudit syarikat bersekutu bagi tahun kewangan sebelumnya.
Hasil kumpulan pula meningkat 21 peratus kepada RM27.10 juta berbanding RM22.44 juta, manakala keuntungan operasi melonjak kepada RM4.54 juta daripada RM1.24 juta sebelumnya.
Peningkatan prestasi itu didorong terutamanya pertumbuhan segmen teknologi pengguna mampan, khususnya penyelesaian teknologi kewangan (fintech), yang mengimbangi sumbangan lebih rendah daripada segmen jenama mampan.
Segmen teknologi pengguna mampan mencatatkan peningkatan hasil lebih dua kali ganda kepada RM9.66 juta berbanding RM3.39 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan ketara perniagaan fintech.
Hasil daripada penyelesaian fintech meningkat kepada RM9.62 juta berbanding RM3.10 juta, manakala keuntungan operasi sebelum cukai segmen itu meningkat kepada RM3.97 juta daripada RM1.14 juta.
Antara penyelesaian patuh Syariah yang ditawarkan kumpulan termasuk platform dagangan komoditi digital As Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal, yang membantu penyedia kredit menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang kurang mendapat akses kepada pembiayaan.
Bagaimanapun, segmen jenama mampan yang merangkumi produk penjagaan ibu dan bayi (Offspring), penjagaan diri (Tanamera) serta kesihatan (FA Herbs) merekodkan penurunan hasil lapan peratus kepada RM17.28 juta berbanding RM18.79 juta.
Keuntungan operasi sebelum cukai segmen itu turut merosot kepada RM91,000 daripada RM1.21 juta, susulan sumbangan lebih rendah daripada produk bermargin tinggi, penyusutan margin keuntungan kasar dan peningkatan perbelanjaan pengiklanan serta promosi.
Sementara itu, segmen lain-lain yang merangkumi aktiviti pegangan pelaburan dan penyelesaian tenaga mampan mencatatkan kerugian operasi sebelum cukai RM1.01 juta, berbanding kerugian RM1.45 juta pada suku sama tahun lalu.
Mengulas prospek, Pengerusi Sedania Innovator, Tun Md Raus Sharif berkata, kumpulan akan memberi tumpuan kepada pemilihan pelaburan secara berdisiplin serta memastikan pertumbuhan perniagaan diterjemahkan kepada keuntungan.
Lembaga Pengarah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, disokong pelaksanaan strategi dan tumpuan terhadap pertumbuhan mampan. – UTUSAN











