Setiap pelakon ada kelebihan, Razzuan Rosli enggan bandingkan diri - Utusan Malaysia

Setiap pelakon ada kelebihan, Razzuan Rosli enggan bandingkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mudah untuk mencipta nama dalam industri seni, apatah lagi apabila perjalanan yang dilalui tidak semestinya menjanjikan peluang besar sejak awal kemunculan.

Bagi pelakon, Razzuan Rosli, tempoh hampir tujuh tahun sejak mula menceburi bidang lakonan pada 2019 menjadi fasa penting dalam membina pengalaman, mengasah kemampuan serta membuktikan potensi dirinya.

Mengakui perjalanan seninya tidak berlaku dalam sekelip mata, Razzuan berkata, peluang yang hadir pada peringkat awal lebih banyak memberikannya ruang untuk mempelajari selok-belok lakonan menerusi watak kecil sebelum diberikan kepercayaan membawa karakter yang lebih besar dan kompleks.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika mula-mula menceburi bidang lakonan, memang ada peluang yang diberikan, tetapi saya belum mendapat kepercayaan untuk membawa watak yang berat atau memerlukan lapisan emosi yang pelbagai. Jadi, sepanjang perjalanan itu saya belajar daripada watak sekecil-kecilnya sebelum berpeluang membawa karakter yang lebih besar dan memerlukan penghayatan emosi mendalam.

“Saya bermula setahun sebelum Covid-19 dan selepas itu, keadaan industri turut terjejas sehingga peluang untuk bekerja menjadi sangat terhad. Namun, bagi saya, semuanya perlu bermula dengan keinginan yang kuat. Jika kita benar-benar mahukan sesuatu, kita akan terus berusaha mendapatkannya.

“Perkara paling utama adalah percaya kepada kemampuan diri sendiri. Jika kita sendiri tidak yakin dengan diri sendiri, siapa lagi yang mahu mempercayai kita? Saya percaya saya mampu menjadi seorang pelakon. Mungkin saya tidak sehebat orang lain, tetapi saya mempunyai karakter dan kelebihan tersendiri yang membezakan saya daripada pelakon lain,” katanya.

Bagaimanapun, kesabaran yang dipupuk sepanjang tempoh berkenaan mula memperlihatkan hasil apabila tahun ini menjadi antara fasa paling bermakna dalam perjalanan seninya.

Selain diberikan kepercayaan menggalas watak pelakon pembantu utama bergandingan dengan Shahz Jaszle dan Diana Danielle, Razzuan turut terlibat dalam beberapa projek filem tempatan serta sebuah filem kolaborasi Malaysia-Hong Kong.

Menariknya, penglibatannya dalam filem kolaborasi berkenaan bukan sekadar bersandarkan kemampuan lakonan, sebaliknya turut membuka ruang untuknya memanfaatkan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin.

Walaupun tidak menganggap dirinya fasih sepenuhnya, Razzuan mengakui kemahiran tersebut menjadi nilai tambah yang membuka peluang kepada dirinya untuk meneroka watak berbeza.

“Kalau hendak dikatakan fasih, tidaklah begitu. Saya boleh memahami dan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin, tetapi kosa kata saya tidaklah seluas mereka yang benar-benar menguasai bahasa itu. Saya juga sudah lama tidak mempraktikkannya.

“Namun, apabila mendapat peluang seperti ini, saya sedar kemahiran tersebut sebenarnya mempunyai nilai dalam industri. Jadi, saya perlu mengambil kesempatan ini untuk memperbaiki penguasaan bahasa Mandarin, khususnya dari segi perbendaharaan kata supaya kemampuan itu dapat dimanfaatkan dengan lebih baik,” katanya.

Malah, Razzuan mendedahkan dia dilamar secara langsung untuk membintangi filem aksi berkenaan kerana watak yang ditawarkan memerlukan seorang pelakon berbangsa Melayu yang mempunyai penampilan Melayu, tetapi mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Dalam pada itu, menyentuh soal persaingan dengan kehadiran ramai pelakon baharu yang semakin menyerlah, Razzuan mengakui dia tidak pernah melihat perkembangan kerjaya orang lain sebagai ancaman.

Sebaliknya, dia memilih untuk meraikan kelebihan setiap individu dan menjadikan pencapaian rakan seangkatan mahupun pelakon lebih muda sebagai sumber inspirasi untuk memperbaiki mutu lakonannya.

Katanya, setiap pelakon mempunyai perjalanan, kekuatan dan waktu tersendiri untuk menyerlah. Justeru, tidak wajar seseorang mengukur pencapaiannya berdasarkan kejayaan orang lain.

Sebagai sebahagian daripada industri ini, katanya, dia gembira melihat kemunculan pelakon yang mempunyai kemahiran serta kelebihan masing-masing dan tidak boleh membandingkan perjalanan sendiri dengan orang lain kerana setiap individu mempunyai waktunya tersendiri.

“Apabila melihat pelakon yang lebih baharu daripada saya tetapi berjaya mencapai sesuatu dengan lebih pantas, saya anggap itu rezeki mereka. Mereka mempunyai kelebihan yang mungkin saya tidak miliki.

“Malah, ada kalanya saya melihat lakonan mereka dan terfikir, bagusnya dia membawa watak itu, bagaimana dia boleh melakukannya? Dari situ saya mengambil sesuatu untuk dijadikan pembelajaran.

“Begitu juga apabila pelakon baharu menonton karya pelakon yang lebih lama, mungkin mereka turut memperoleh sesuatu sebagai rujukan. Kita sebenarnya membina kemahiran dengan memerhatikan orang lain, mengutip ilmu dan mengasahnya sehingga menjadi kekuatan sendiri. Itu yang menjadikan setiap pelakon mempunyai warna tersendiri,” katanya.

Razzuan menegaskan mengambil inspirasi daripada pelakon lain tidak bermaksud seseorang itu meniru gaya atau identiti individu berkenaan.

Sebaliknya, proses pemerhatian dan menjadikan karya orang lain sebagai rujukan adalah sebahagian daripada usaha membentuk identiti tersendiri dalam bidang seni.

Ketika ditanya mengenai figura yang menjadi rujukan dalam bidang lakonan, Razzuan memilih tiga nama besar iaitu Amerul Affendi, Beto Kusyairy dan Bront Palarae.

Baginya, ketiga-tiga figura berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dari sudut penghayatan watak serta sumbangan mereka terhadap industri seni tanah air.

Namun, Bront menjadi antara individu yang paling dikaguminya kerana tidak mengehadkan kemampuan diri sebagai pelakon semata-mata, sebaliknya turut meneroka bidang penerbitan dan kerja di belakang tabir.

“Kalau dari sudut lakonan, saya banyak menjadikan Amerul Affendi dan Beto Kusyairy sebagai rujukan. Namun, jika melihat secara keseluruhan perjalanan seseorang dalam industri, saya memilih Bront Palarae kerana beliau tidak meletakkan dirinya sebagai pelakon semata-mata.

“Beliau turut meneroka bidang penerbitan dan pelbagai perkara di belakang tabir. Saya melihat itu sebagai sesuatu yang menarik kerana kita tidak seharusnya mengehadkan perjalanan dalam industri hanya kepada lakonan. Apabila usia semakin meningkat, mungkin pada usia 60 atau 70 tahun, kita tidak lagi mampu melakukan perkara yang pernah dilakukan ketika muda.

“Namun, kita masih boleh menyumbang kepada industri melalui bidang lain. Saya tidak mahu perjalanan saya terhenti apabila tidak lagi aktif berlakon. Saya mahu terus berada dalam industri dan menyumbang menerusi kemahiran serta pengalaman yang dikumpulkan sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini