PUTRAJAYA: Malaysia mendapat pengiktirafan dan pujian ulama antarabangsa kerana menjadi kerajaan pertama menganjurkan Majlis Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pengiktirafan itu diberikan ulama yang menyertai majlis berkenaan yang berlangsung di Masjid Putra, di sini dari 13 hingga 23 November lalu.
Beliau berkata, lebih 40 ulama antarabangsa menyertai program berkenaan yang merupakan usaha julung kali dianjurkan oleh sebuah kerajaan.
“Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam mesyuarat hari ini.
“Para ulama yang hadir telah mengakui inilah kerajaan pertama yang bersedia untuk mengadakan majlis seumpama ini.
“Kita dah biasa dengan khatam Quran dan hafazan, tapi untuk majlis sama’ hadis, ini merupakan usaha oleh sebuah kerajaan, usaha pertama oleh sebuah kerajaan yang telah diiktiraf oleh para ulama yang hadir.
“Lebih 40 ulama antarabangsa telah turut serta dalam majlis tersebut dan ini merupakan satu kebanggaan untuk negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Antara tokoh dan ulama antarabangsa memeriahkan program itu termasuk Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad, Syeikh Dr. Naji Bin Rashid Al- Arabi (Bahrain) dan Sheikh Dr. Yasir Al Adeni (Yaman). – UTUSAN











