Pahang tuntut tunggakan premium tanah RM72.36 juta daripada FGV

Pahang tuntut tunggakan premium tanah RM72.36 juta daripada FGV

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menuntut tunggakan premium tanah daripada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM72.36 juta sebelum rundingan bayaran dan denda premium berjumlah RM498 juta diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan dengan pihak FGV dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), termasuk pertemuan beliau dengan Menteri Kewangan II bagi membincangkan tunggakan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah membuat keputusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berhubung kaedah penyelesaian, termasuk menetapkan bayaran premium tanah berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh FGV.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara itu akan dibentangkan semula dalam mesyuarat Lembaga FELDA pada Januari depan.

“Namun, saya masih berpegang kepada surat yang menyatakan perkara berkenaan akan diselesaikan pada 30 November,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, pihak FGV sebelum ini menerusi surat kepada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang memohon lanjutan masa sehingga 30 November ini bagi membolehkan bayaran berkenaan diselesaikan.

Bagaimanapun, perkembangan terkini yang dimaklumkan kepada beliau pagi ini menunjukkan FELDA masih belum menerima arahan atau ketetapan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung perkara itu.

Wan Rosdy menjelaskan, kerajaan negeri akan terus bertegas dalam memastikan hak dan hasil negeri ditunaikan, meskipun tindakan membangkitkan perkara itu secara terbuka mungkin tidak popular di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Secara hitam putih, mereka menyatakan pada 30 November hendak bayar. Jadi, saya tidak ada pilihan lain selain membangkitkan perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini