PETALING JAYA: Syarikat teknologi China, Kingsoft Office, memilih Malaysia sebagai pangkalan strategik untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kehadiran tempatan serta kerjasama bersama perusahaan dalam menyokong agenda pendigitalan negara.
Pengembangan itu turut menyasarkan peningkatan penggunaan penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin memerlukan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Naib Presiden Kanan Kingsoft Office, Zhiqiang Jiang berkata, komitmen syarikat terhadap Malaysia mencerminkan keyakinan terhadap potensi pasaran tempatan serta kepentingan membina hubungan jangka panjang dengan komuniti perniagaan.
Katanya, pengembangan antarabangsa bukan sekadar membawa masuk produk, sebaliknya memerlukan pembentukan pasukan tempatan dan penyediaan sokongan yang memahami keperluan pasaran.
“Kami berada di sini untuk jangka masa panjang dan bukan hanya membawa produk sebaliknya turut menyediakan pasukan tempatan, sokongan setempat dan komitmen untuk mendengar, memahami serta berkembang bersama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengalaman selama 38 tahun dalam industri perisian pejabat menjadi asas kepada usaha syarikat membawa kepakaran teknologinya ke Malaysia dengan mengambil kira keperluan serta perkembangan perniagaan tempatan.
Sementara itu, Naib Presiden Kingsoft Office merangkap Pengurus Besar Perniagaan Komersial Global, Xu Liu berkata, kedudukan Malaysia yang menghubungkan aktiviti perniagaan antara China dan Asia Tenggara menjadikan negara ini pasaran penting bagi pengembangan syarikat.
Katanya, persekitaran perniagaan tempatan yang menggunakan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Melayu dan Cina turut memberikan kelebihan kepada syarikat teknologi antarabangsa untuk mengembangkan operasi serantau.
“Kami melihat Malaysia sebagai pangkalan penting bagi pengembangan perniagaan WPS 365 di Asia Tenggara,” katanya.
Menurut Kingsoft Office, platform WPS Office merekodkan lebih 678 juta peranti aktif bulanan di seluruh dunia pada penghujung 2025, termasuk kira-kira 245 juta peranti di luar China, sekali gus menunjukkan potensi pertumbuhan perniagaan antarabangsa syarikat itu.
Dalam pada itu, peningkatan penggunaan teknologi AI dan perkhidmatan berasaskan awan membuka peluang kepada syarikat untuk memperluas kerjasama dengan perusahaan tempatan melalui penyediaan penyelesaian yang lebih fleksibel.
Xu berkata, platform WPS 365 menyediakan beberapa pilihan pelaksanaan sistem termasuk melalui pelayan awan awam, pelayan khusus atau pelayan yang ditempatkan di premis pelanggan.
Ketika ini, perkhidmatan Kingsoft Office di Asia Tenggara menggunakan kemudahan pelayan yang berpusat di Singapura.
“Bagaimanapun, syarikat bersedia meneroka aturan pelaksanaan bersesuaian bagi memenuhi keperluan perusahaan Malaysia, khususnya berkaitan penyimpanan data dalam negara serta pematuhan terhadap keperluan tadbir urus data.
“Keupayaan menyediakan pilihan penyimpanan dan pengurusan data mengikut keperluan pelanggan dilihat penting dalam memperluas penerimaan teknologi awan, terutama bagi perusahaan yang mempunyai keperluan keselamatan dan kawalan data tersendiri,” tambahnya.
Pengembangan Kingsoft Office itu turut mencerminkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan syarikat teknologi antarabangsa, khususnya ketika permintaan terhadap penyelesaian digital dan AI terus berkembang.
Kerjasama antara penyedia teknologi global dengan perusahaan tempatan berpotensi mempercepat penggunaan teknologi baharu, selain memperkukuh keupayaan ekosistem digital negara. – UTUSAN











