APAKAH maknanya kemajuan sesebuah negara sekiranya pembangunan ekonomi dan penguasaan teknologi tidak disertai kematangan pemikiran serta kekuatan jati diri bangsa?
Persoalan ini semakin penting ketika Malaysia mempergiat transformasi ekonomi, pendigitalan dan pembangunan insan berteraskan aspirasi Malaysia Madani.
Pemergian Sasterawan Negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said atau dikenali Pak Samad pada 24 November lalu mengajak masyarakat menilai semula kedudukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan dalam agenda pembangunan negara.
Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook mengangkat sumbangan Pak Samad dalam memperjuangkan martabat bahasa Melayu dan keadilan serta mengetengahkan kehidupan golongan yang sering tersisih melalui novel Salina (1961).
Ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Anwar turut menekankan keperluan mencari pendekatan terbaik bagi memastikan sumbangan dan warisan keilmuan Pak Samad terus berkembang dalam masyarakat.
Penegasan tersebut mempunyai kaitan dengan enam nilai teras Malaysia Madani, khususnya kesejahteraan, hormat dan ihsan. Justeru, penghargaan terhadap Pak Samad perlu diterjemahkan kepada usaha memperkukuh kedudukan bahasa dan kesusasteraan dalam pembangunan negara.
PEMBINAAN PERADABAN
Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021) menggariskan tujuh teras utama, termasuk budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan warisan serta pembangunan dan pengembangan budaya.
Dasar berkenaan menyediakan landasan yang boleh dimanfaatkan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani, khususnya pembentukan masyarakat berilmu, berbudaya dan mempunyai kekuatan jati diri.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus diperkukuh melalui penggunaannya sebagai bahasa ilmu, penyelidikan, pentadbiran dan komunikasi profesional.
Keupayaan menguasai bahasa antarabangsa pula merupakan pelengkap kepada usaha meningkatkan daya saing negara.
Pak Samad yang menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985 memperlihatkan bagaimana bahasa Melayu mampu mengungkapkan persoalan kemanusiaan, perubahan sosial dan kehidupan masyarakat melalui karya yang mempunyai nilai intelektual tinggi.
Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh memperluas pendekatan penghayatan karya Sasterawan Negara dengan menghubungkan kandungan kesusasteraan kepada persoalan kehidupan semasa.
Novel Salina, misalnya, boleh dimanfaatkan dalam perbincangan mengenai kemiskinan dan kesejahteraan masyarakat, manakala Sungai Mengalir Lesu membuka ruang kepada pemahaman mengenai kesan peperangan terhadap kehidupan manusia.
Pendekatan ini membolehkan murid menguasai bahasa, memperkukuh pemikiran kritis dan memahami realiti sosial melalui proses pembelajaran yang lebih bermakna.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula boleh menggalakkan universiti memperbanyak penerbitan ilmiah berkualiti dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang sains, teknologi, ekonomi dan pengurusan.
Pemartabatan bahasa perlu disertai penghasilan ilmu baharu agar bahasa Melayu terus berkembang seiring perubahan dunia.
SASTERA PERKUKUH PEMBANGUNAN INSAN MADANI
Konsep karamah insaniah atau kemuliaan insan dalam gagasan Malaysia Madani memberikan asas kepada pembangunan yang mengambil kira kesejahteraan, maruah dan keperluan manusia.
Dalam pentadbiran awam, penghayatan nilai kemanusiaan mempunyai hubungan dengan cara dasar dirangka, keputusan dibuat dan perkhidmatan disampaikan kepada rakyat.
Statistik kemiskinan membantu kerajaan mengenal pasti bilangan isi rumah yang memerlukan bantuan, manakala kesusasteraan memperluas pemahaman terhadap pengalaman keluarga yang menghadapi kesempitan hidup.
Kedua-dua perspektif penting dalam membentuk pendekatan pembangunan yang responsif terhadap keperluan masyarakat.
Sementara Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) boleh mempertimbangkan penggunaan karya kesusasteraan terpilih sebagai bahan perbincangan dalam program pembangunan kepimpinan, etika pentadbiran dan pengurusan dasar awam.
Pegawai yang mengikuti latihan pengurusan kemiskinan, misalnya, boleh didedahkan kepada karya yang menggambarkan cabaran kehidupan masyarakat sebelum membincangkan keberkesanan mekanisme bantuan kerajaan.
Pendekatan ini bukan bertujuan menggantikan analisis data atau latihan profesional tetapi melengkapkan pembangunan kompetensi dengan pemahaman terhadap konteks kehidupan rakyat.
Dalam merealisasikan nilai ihsan yang ditekankan Anwar, kecekapan pentadbiran perlu disertai keupayaan memahami kesan sesuatu keputusan terhadap masyarakat.
MANFAAT TEKNOLOGI
Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan pada 2023 menggariskan enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif bagi memperkukuh ekosistem pendidikan digital negara.
Pelaksanaan dasar tersebut menyediakan peluang untuk memperluas akses generasi muda kepada khazanah kesusasteraan kebangsaan.
DBP bersama Perpustakaan Negara Malaysia dan institusi pendidikan boleh mempergiat pendigitalan karya Sasterawan Negara melalui penyediaan buku elektronik, buku audio dan bahan pembelajaran interaktif, tertakluk kepada perlindungan hak cipta.
Perhatian khusus wajar diberikan kepada sekolah luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada bahan bacaan fizikal. Penyediaan kandungan digital yang boleh diakses melalui peranti mudah alih berpotensi merapatkan jurang tersebut.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), pembangunan kandungan digital bahasa Melayu juga perlu diberikan perhatian supaya generasi muda mempunyai akses kepada sumber ilmu yang berkualiti dalam bahasa kebangsaan.
Ukuran kejayaan program kebudayaan wajar diperluas melangkaui jumlah penerbitan, penganjuran program dan bilangan peserta.
Antara petunjuk yang boleh diberikan perhatian ialah kadar pembacaan karya tempatan, penggunaan bahan kesusasteraan digital, penyertaan generasi muda dan perkembangan bakat penulis baharu.
Dapatan penilaian berkenaan boleh digunakan untuk memperbaiki program pembudayaan ilmu serta mengenal pasti kelompok masyarakat yang masih kurang mendapat pendedahan kepada khazanah intelektual negara.
Akhirnya, aspirasi Malaysia Madani perlu menghubungkan pembangunan ekonomi dan teknologi dengan pemartabatan bahasa, pembudayaan ilmu serta pengukuhan nilai kemanusiaan.
Bagi usaha meneruskan legasi Pak Samad, ukuran paling bermakna ialah berapa ramai generasi muda mengenali karya beliau, sejauh mana bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu dan bagaimana nilai kemanusiaan diterjemahkan kepada kehidupan serta kesejahteraan rakyat.
Pak Samad telah menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai sasterawan. Kini, tanggungjawab kita adalah menyempurnakan persoalan bangsa yang masih belum selesai. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Abd. Rahim Romle ialah Profesor Madya dalam bidang Pengurusan Awam dan Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ainur Rabiyatul Abd. Rahim ialah calon Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Putra Malaysia (UPM).











