WEST PALM BEACH: Presiden, Donald Trump menggesa siasatan dijalankan berhubung semakan rutin angka pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), sambil mengulangi dakwaan tidak berasas mengenai campur tangan dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu.
Trump mengecam angka yang disifatkannya sebagai palsu, sehari selepas Jabatan Perdagangan AS menyemak naik kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga kepada 4.3 peratus, berbanding anggaran awal 3.4 peratus.
Semakan angka ekonomi seperti itu merupakan amalan biasa.
“Mengapa angka sebenar tidak dikeluarkan sebelum Pilihan Raya? Saya meminta siasatan segera dijalankan berhubung perkara ini.
“Ini bukan kesilapan kecil, sebaliknya kesilapan besar yang disengajakan,” katanya menerusi platform Truth Social.
Trump kemudian membuat satu lagi hantaran panjang sempena sambutan Hari Kesyukuran di AS, dengan turut menyasarkan beberapa pihak yang dianggapnya sebagai musuh dan pengkritik kerja-kerja pengubahsuaian besar-besaran Rumah Putih.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kesyukuran kepada mereka yang mengeluarkan angka ekonomi palsu sejurus sebelum pilihan raya dan membetulkannya semalam, tiga minggu lewat,” tulisnya.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai kesilapan luar biasa dan mendakwa ia terlalu serius sehingga perlu disiasat serta-merta.
Dakwaan Trump mengenai tindakan sengaja itu menyamai beberapa tuduhan tidak berasas yang dibuatnya sebelum ini bagi mempertikaikan kekalahan teruk Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November lalu.
Parti Demokrat berjaya menguasai Kongres selepas pengundi menghukum Parti Republikan pimpinan Trump susulan tekanan ekonomi akibat perang Iran serta dasar tarif yang tidak menentu.
Sepanjang dua penggal pemerintahannya, Trump, 80, berulang kali menyerang norma politik, perundangan dan ekonomi yang sekian lama menjadi asas demokrasi AS.
Trump sebelum ini mempertahankan prestasi ekonominya dengan merujuk data seperti pertumbuhan KDNK yang kekal kukuh meskipun berdepan pelbagai tekanan, terutama didorong ledakan industri kecerdasan buatan (AI).
Ketika mengeluarkan anggaran baharu KDNK pada 25 November, Biro Analisis Ekonomi di bawah Jabatan Perdagangan AS berkata, pertumbuhan itu terutamanya mencerminkan peningkatan pelaburan dan pemulihan perbelanjaan kerajaan, yang sebahagiannya diimbangi oleh kemerosotan eksport.-AFP











