KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Seri Menanti, di sini bagi menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pagi ini.
Kenderaan membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dilihat memasuki pekarangan istana jam 10.11 pagi
Terdahulu, beberapa kenderaan membawa ADUN Negeri Sembilan dilihat memasuki kawasan istana mulai jam 10 pagi.
Istiadat dijangka menjadi perhatian susulan pembentukan barisan EXCO baharu bagi mengisi portfolio pentadbiran kerajaan negeri.
Majlis dijangka bermula jam 10.45 pagi bakal berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Semalam, Tuanku Muhriz perkenan menerima menghadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) di Istana Hinggap, di Seremban.
Difahamkan, sesi menghadap itu adalah untuk meleraikan kemelut pentadbiran di negeri ini yang berlarutan hampir empat bulan.
Pemimpin berkenaan membabitkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.











