KOTA KINABALU: Komponen menara sementara Emergency Restoration System (ERS) tiba di lokasi menara penghantaran yang tumbang di Ranau awal pagi ini bagi memulihkan talian elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa lori yang membawa kontena menara sementara ERS itu selamat tiba di lokasi menara penghantaran T313 pada 1.07 pagi.
“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” menurut kenyataan itu.
Syarikat tersebut memaklumkan bahawa pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami sepanjang tempoh gangguan serta amat menghargai kesabaran dan kerjasama para pelanggan.
Pasukan teknikal Sabah Electricity terus digerakkan untuk melaksanakan kerja persediaan sebelum pemasangan menara ERS dimulakan sambil mengutamakan keselamatan dan pematuhan prosedur kerja yang ditetapkan.
Sabah Electricity juga mempergiat segala usaha bagi mempercepat pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna terjejas selepas kejadian menara penghantaran T313 di Ranau tumbang, semalam.
Kejadian yang dikesan berlaku pada 6.04 pagi itu memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427.











