KAYSERI: Salah satu pusat peranginan ski utama di Turkiye mula menghasilkan salji tiruan bagi persiapan menghadapi musim sejuk, menurut pihak berkuasa.
Pengendali di Erciyes yang terletak di wilayah Kayseri di tengah Turkiye, mengaktifkan 154 mesin pembuat salji bagi membentuk lapisan ais tebal di laluan ski utama, menurut kenyataan bertulis Erciyes Inc., syarikat yang diuruskan oleh Perbandaran Metropolitan Kayseri.
Pasukan operasi bekerja siang dan malam di kawasan Tekir, Hacilar, Hisarcik dan Develi di gunung itu.
Sistem penghasilan salji tiruan merupakan antara pelaburan infrastruktur utama pusat peranginan itu bagi memastikan ia dibuka mengikut jadual serta mengekalkan kualiti salji sepanjang musim, menurut syarikat berkenaan.
Sistem itu juga membantu pihak pengurusan membuat persiapan pembukaan musim dan memastikan laluan ski terus dibuka lebih lama, terutama apabila salji semula jadi tidak mencukupi.
Air untuk menghasilkan salji tiruan diperoleh dari kolam Tekir dan sebuah kolam buatan di kawasan Hacilar Kapi, menurut kenyataan itu.
Kira-kira 60 peratus laluan ski di Erciyes dilengkapi infrastruktur penghasilan salji tiruan, yang digunakan terutama di laluan paling sibuk serta berhampiran pintu masuk utama.-AGENSI











