SETIU: Lambakan ubi kayu ketika musim tengkujuh dimanfaatkan seorang suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan menerusi jualan pelbagai juadah tradisional berasaskan ubi berkenaan.
Bermula dengan hanya menjual ubi kayu mentah, Siti Aini Akasah, 31, dari Kampung Telaga Papan di sini, mengambil inisiatif mempelbagaikan menu bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Antara juadah yang menjadi tarikan ialah ubi tonyoh dan boko ubi yang dihasilkan menggunakan resipi warisan ibunya, Siti Fatimah Merah, 68.
Menurutnya, ubi tonyoh yang semakin kurang dikenali generasi muda itu merupakan makanan tradisional masyarakat dahulu yang dinikmati bersama kelapa parut dan manisan gula Melaka.
“Ubi tonyoh ini dibuat dengan memarut ubi kayu sebelum dikukus kira-kira 10 minit dan pelanggan boleh menikmatinya ketika masih panas kerana semuanya dimasak di kedai.
“Selain itu, beko ubi pula dihasilkan menggunakan ubi kayu yang dihaluskan dan gula melaka yang dimasak bersama sebelum ditambah lapisan santan sebagai pelengkap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Ujarnya, dia mula mengusahakan jualan berkenaan sejak pertengahan November lalu dengan mendapatkan bekalan ubi kayu daripada kakaknya.
Katanya, sebanyak 50 kilogram ubi kayu mampu digunakan sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan setiap bekas dijual pada harga RM8. – UTUSAN











