PATTANI (THAILAND): Jabatan Perikanan Thailand merampas 2,500 kilogram ikan siakap sejuk beku yang dipercayai diseludup dari Malaysia, selepas memintas sebuah pikap di Lebuhraya 43 Mukim Tha Kam Cham, Daerah Nong Chik, Pattani, Selasa lalu.
Dalam operasi yang turut disertai polis dan tentera kira-kira pukul 5.30 petang, pihak berkuasa turut menahan pemandu pikap terbabit berusia dalam lingkungan 40-an untuk siasatan lanjut.
Pengarah Pusat Pengurusan Stesen Pemeriksaan Perikanan Wilayah 8, Theerachai Thipduang berkata, operasi dilakukan bagi menguatkuasa peraturan pengimportan haiwan akuatik dan langkah kebersihan mengimport ikan siakap putih dari Malaysia.
Menurutnya, Stesen Pemeriksaan Perikanan Pattani menerima maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan ikan siakap dari Malaysia, sebelum meminta kerjasama polis serta tentera bagi menubuhkan pusat pemeriksan khas di lebuh raya berkenaan.
“Ketua Stesen Pemeriksaan Perikanan Pattani, Saowanee Salitho dan Unit Tiger Shark Pusat Pencegahan dan Penindasan Perikanan Marin Pattani, menahan sebuah pikap yang disyaki membawa barangan seludup.
“Pemeriksan kemudian menemukan 50 peti mengandungi ikan siakap putih seberat 2,500 kilogram bernilai kira-kira 225,000 baht (RM27,157).
“Pemandu pikap berkenaan gagal menunjukkan dokumen kebenaran untuk mengimport ikan siakap Malaysia ke Thailand,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Thailand melarang import ikan siakap dari Malaysia yang didakwa tidak mematuhi peraturan kesihatan, sejak lebih setahun lalu.
Malaysia kemudian mengenakan sekatan import terhadap lima jenis udang putih Thailand atas faktor keselamatan makanan, pematuhan piawaian import, serta isu biosekuriti dan sisa bahan kimia, menyebabkan lebih 400 penternak di Selatan Thailand rugi sehingga enam bilion baht atau RM725.6 juta setahun. – UTUSAN











