LONDON: Syarikat peruncitan yang membuat persiapan menghadapi musim jualan murah Black Friday berdepan ancaman serangan siber yang semakin memuncak apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan gangguan lebih pantas dan berbahaya.
Musim beli-belah selepas Hari Kesyukuran itu sememangnya menjadi lubuk jualan lumayan, namun kekerapan serta kecanggihan serangan siber kebelakangan ini semakin menguji tahap ketahanan digital peniaga dengan sektor itu mencatatkan antara kadar perlindungan insurans siber paling rendah.
Menurut data tuntutan syarikat insurans CFC, serangan perisian tebusan ransomware terhadap perniagaan peruncitan, riadah dan hospitaliti meningkat 50 peratus lebih kerap pada November berbanding purata bulanan biasa.
Malah, hanya 43 peratus peruncit bersaiz kecil dan sederhana memiliki perlindungan insurans siber, jauh lebih rendah berbanding 81 peratus dalam sektor perkhidmatan kewangan serta 71 peratus dalam sektor teknologi.
“Peruncit menghabiskan masa berbulan-bulan memastikan laman web, stok dan logistik mereka mampu menampung lonjakan pelanggan, tetapi Black Friday kini dianggap sebagai latihan ketahanan sistem dan bukan sekadar peluang menjana pendapatan,” kata Ketua Pembangunan Siber Global CFC, Lindsey Maher.
Black Friday dan Cyber Monday merupakan antara tempoh paling sibuk dalam kalendar peruncitan tahunan apabila pengguna berlumba-lumba memburu tawaran potongan harga besar-besaran.
Kajian firma perunding PwC menunjukkan pengguna di United Kingdom (UK) dijangka membelanjakan purata 235 pound (RM1,340) seorang pada Black Friday kali ini, sekali gus meletakkan perbelanjaan keseluruhan negara itu pada paras tertinggi sejak 2022.
Ketua Penaja Siber dan Kewangan Eropah, Asia Barat dan Afrika di Aon, David Molony berkata, peruncit lazimnya tidak membeli insurans siber tambahan khusus untuk hujung minggu jualan murah tersebut, sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha menguji serta mengukuhkan sistem pertahanan sedia ada.
“Sebarang insiden siber yang mengganggu keupayaan perniagaan beroperasi semasa musim puncak boleh bertukar dengan pantas daripada sekadar masalah operasi kepada kerugian kewangan yang besar,” katanya.
Sebagai contoh, gergasi peruncitan Amerika Syarikat (AS), Target pernah menanggung kos bersih terkumpul sebanyak AS$202 juta (RM900 juta) susulan insiden pencerobohan data pada musim beli-belah hujung tahun 2013 yang menjejaskan sekurang-kurangnya 40 juta maklumat kad kredit pelanggan.
Ketua Risiko Siber Antarabangsa di Beazley, Sydonie Williams menjelaskan rantaian bekalan peruncitan yang kompleks, simpanan rekod kad kredit yang banyak serta kesibukan musim jualan menjadikan sektor berkenaan sasaran utama untuk mencetuskan kekacauan maksimum, biarpun teknologi AI turut membantu memperkukuh mekanisme pertahanan siber. – AGENSI











