KUALA TERENGGANU: Kos subsidi sehingga RM40 bilion setahun masih mampu ditanggung oleh kerajaan sekiranya ketirisan dapat diatasi dengan melaksanakan pengurusan kewangan negara secara cermat.
Malah, pengurusan yang cermat juga memberi ruang kepada kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam melalui dasar Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sejak Disember 2024 selain bantuan seperti
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan perbelanjaan yang berhemah itu penting supaya kebajikan rakyat dapat dipelihara tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.
“Kerajaan kena tampung kos subsidi untuk mempertahankan harga minyak. Bagaimana kita boleh tampung RM40 bilion itu selain RM16 bilion untuk STR dan SARA. Sebab kita cermat dalam pengurusan kewangan. Kita elak daripada kecurian, bocor dan sebagainya.
“Pengurusan kewangan negara secara cermat dan usaha menangani ketirisan membolehkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak walaupun perlu menampung kos RM40 bilion setahun. Malah, selain itu kita menaikkan gaji penjawat awam dan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta Anugerah Sarjana Terengganu 2026 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Malah, Anwar turut menegaskan nilai akhlak dan adab diterapkan sejak di bangku sekolah dan mempertikai pihak yang memandang ringan perbuatan mencuri atau menyeleweng oleh individu berkedudukan tinggi sedangkan kesalahan sama dalam kalangan murid sekolah dikenakan hukuman.
Dalam pada itu, Anwar ketika berucap pada Program Usahawan Bangkit Madani mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM1.5 juta melibatkan kerja-kerja pembaikan infrastruktur terhadap 11 institusi pendidikan Islam termasuk sekolah tahfiz di Terengganu.
Beliau berkata, pembaikan tersebut melibatkan institusi yang terletak di kawasan parlimen seperti di Besut, Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Menurut Anwar peruntukan itu bertujuan memperkukuh institusi pendidikan Islam selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat.
Daripada jumlah itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM200,000, diikuti Institut Tahfiz Al-Quran Al Mizan (RM200,000), Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Serada (RM170,000) dan Madrasah Darul Iman (RM150,000).
Turut menerima peruntukan ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu (MTQT), Padang Midin sebanyak RM140,000, Al Madrasah Al Fathoniyyah Lil Ulum Ad Diniyyah (RM127,000) serta Madrasah STC, Pusat Tahfiz Anak Yatim Al Sidiqi, Sekolah Menengah Darul Furqan dan Madrasah Hafizah Ummul Khair yang masing-masing menerima RM100,000.
Sementara itu, Pusat Tahfiz Al-Quran Gong Bayor menerima peruntukan sebanyak RM110,000.
Dalam majlis sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan RM14.99 juta diperuntukkan bagi membantu 5,101 usahawan dan peniaga kecil menerusi Skim Usahawan Bangkit di seluruh negara Sunting Sunting tarikh dan masa sehingga 23 November lalu.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 380 usahawan dan peniaga kecil di Terengganu menerima manfaat menerusi peruntukan RM1.04 juta di bawah Program SejaTi MADANI@Usahawan B40 bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti perniagaan masing-masing.
Malah peruntukan sebanyak RM1,044,750 itu disalurkan dalam bentuk bantuan peralatan bagi membantu golongan usahawan mikro, penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan serta meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan.
“Saya juga mahu umumkan tambahan RM500,000 untuk usahawan kecil di Terengganu.
“Peruntukan itu akan disalurkan pada tahun depan bagi membantu lebih ramai usahawan memandangkan masih ramai usahawan kecil di Terengganu,” ujarnya. – UTUSAN











