KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mahu memperkukuh barisan kejurulatihan tempatan menerusi usaha menyediakan bekas pemain negara untuk beralih ke bidang itu, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada jurulatih luar.
Timbalan Presiden SRAM, Mohd. Azlan Iskandar berkata, perancangan tersebut penting bagi memastikan bekas atlet mempunyai kesinambungan kerjaya selepas meninggalkan gelanggang, selain membina kapasiti kejurulatihan dalam negara.
“Kita kena ada kesinambungan buat bekas-bekas atlet kita. Kita jangan selalu mengimport jurulatih baharu.
“Saya rasa kita ada pemain sedia ada dan kalau boleh, kita persiapkan mereka untuk fasa kehidupan seterusnya, iaitu dalam bidang kejurulatihan,” katanya selepas mesyuarat Kerja (JKK) Bil. 2/2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Azlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan SRAM berkata, seorang bekas pemain akan menyertai barisan kejurulatihan dalam fasa awal sebelum inisiatif berkenaan dikembangkan secara berperingkat.
Menurutnya, perancangan itu selari dengan keperluan persatuan untuk menyediakan pelan penggantian yang bukan hanya melibatkan pemain, malah turut merangkumi barisan jurulatih.
“Dalam persatuan skuasy, kita memang sentiasa mahukan pelan penggantian, bukan sahaja dalam kalangan pemain, tetapi juga dalam kalangan jurulatih,” katanya.
Usaha memperkukuh struktur kejurulatihan itu turut berjalan seiring dengan penstrukturan SRAM di bawah kepimpinan baharu Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, yang memberi penekanan terhadap perancangan persatuan, selain pengalaman Azlan bersama skuad skuasy Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimanfaatkan dalam peranan baharunya.
Dalam masa sama, SRAM turut memohon penambahan peruntukan bagi persiapan atlet, selain menghargai sokongan berterusan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Azlan berkata, selepas memenuhi sasaran pingat pada Sukan Asia, perhatian persatuan kini turut tertumpu kepada pembangunan pemain pelapis bagi memastikan kesinambungan prestasi skuasy negara ketika pemain sedia ada menjalani persiapan ke Sukan Olimpik 2028.
SRAM turut merancang persiapan menghadapi Sukan SEA 2027, namun Azlan menyifatkan masih terlalu awal untuk mengumumkan sasaran pingat, dengan harapan pemain pelapis mampu mengisi kekosongan dalam skuad negara meskipun pemain sedia ada masih menjadi pilihan sekiranya mereka belum bersedia. – UTUSAN











