Ujian berjodohan duda anak dua

Ujian berjodohan duda anak dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jodoh itu rahsia Allah. Ada yang berjodohan dengan lelaki atau wanita bujang, ada yang dipertemukan dengan pasangan yang mempunyai sejarah perkahwinan terdahulu, lengkap dengan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Apa pun latar belakang seseorang, perkahwinan bukan sekadar tentang cinta, tetapi kesediaan menerima kekurangan, memahami masa lalu dan memikul tanggungjawab bersama.

Begitulah kisah Husna (bukan nama sebenar) minggu ini yang memilih untuk berkahwin dengan Zain (bukan nama sebenar) seorang duda anak dua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kisah Husna dikongsikan adik kandungnya, Maira (bukan nama sebenar) dalam pertemuan diatur baru-baru ini.

Menurut Maira, Husna memilih untuk berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai dua anak yang bernama Danish (bukan nama sebenar) berusia 10 tahun dan seorang perempuan, Zatty, (bukan nama sebenar) berusia 15 tahun.

Ketika pertama kali Husna memberitahu tentang hasratnya itu, semua ahli keluarga terutama ibu bapa terkejut.

Bukan kerana lelaki yang diperkenalkan kepada keluarga sebelum itu tidak baik.

Tetapi kata Maira, mereka tahu perkahwinan dengan seorang duda yang mempunyai anak bukan perkara mudah.

Sebagai adik paling rapat dengan Husna, Maira pernah memberi nasihat tentang perkara yang dibimbangi keluarga. Namun, kata-kata Husna membuatkan dia sendiri terdiam.

Husna tetap percaya setiap niat yang baik disertai keikhlasan dan diserahkan kepada Allah SWT, pasti ada jalan yang dipermudahkanNya.

Pada awalnya, keluarga memang cuba memujuk Husna supaya berfikir semula.

“Ketika itu ibu, ayah dan kami adik beradik takut kakak tidak mampu menghadapi kehidupan sebagai isteri kepada seorang duda.

“Lebih-lebih lagi apabila ada dua anak yang masih kecil,” ujarnya. Tetapi, Husna tetap dengan keputusannya.

Husna berkahwin dengan Zain bukan kerana kasihan, tetapi melihat kebaikan dalam diri lelaki itu. Sekiranya Husna menerima lelaki itu sebagai suami, dia juga perlu belajar menerima anak-anak lelaki itu.

Akhirnya keluarga mengalah. Majlis perkahwinan diadakan sederhana tetapi meriah. Namun jauh di sudut hatinya, tetap tertanya-tanya, mampukah Husna melalui perkahwinan itu?

Berkongsi cerita di awal perkahwinan, dia dapat melihat keluarga baharu Husna kelihatan agak kekok antara satu sama lain terutama anak-anak tirinya.

Danish lebih mudah didekati, tetapi Zatty lebih banyak menunjukkan rasa kurang senang dan tidak selesa.

Zatty sudah cukup besar untuk memahami yang Husna bukan sekadar tetamu. Husna ialah wanita yang akan tinggal bersama dan berkongsi kehidupan dengan bapa mereka.

Bagi Zatty, perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Sambung Maira, dia pernah datang berkunjung ke rumah mereka dan melihat sendiri kakaknya menerima layanan daripada Zatty dan Danish.

Apabila dipanggil makan, kedua-duanya akan keluar makan. Danish tetap di meja makan, sebaliknya Zatty dengan wajah tidak berpuas hati terus masuk ke bilik kembali.

Kadang-kadang apabila Husna sekeluarga pulang ke rumah ibu bapa, Zatty masih bersikap sama.

Jika ditanya, jawapan semuanya ringkas. Menurut Maira, dia dapat merasakan dinding yang dibina Zatty. Zatty tidak melawan, tetapi jelas menunjukkan dia belum benar-benar menerima Husna.

Tidak ada perbualan, tidak ada gurauan dan tidak ada kemesraan seperti keluarga lain.

“Saya pernah bertanya kepada kakak, bagaimana penerimaan anak-anak tirinya selepas beberapa bulan berkahwin.

“Kakak tanpa berselindung memberitahu anak-anak tirinya masih dalam proses belajar untuk menerimanya. Bahkan kata kakak dia sendiri berada dalam proses sama dan tidak mahu memaksa anak-anak tiri menyayanginya.

“Menurut kakak, sekiranya anak-anak tirinya perlukan masa, kakak akan berikan masa,” ujar Maira.

Bulan-bulan seterusnya konflik semakin kerap berlaku. Zatty mula rasa Husna cuba mengambil alih rumah.

Setiap kali Husna cuba menegur, Zatty cuba membandingkan dengan arwah ibu kandung mereka.

“Kakak semakin berhati-hati setiap kali mendengar perkataan itu. Saya tahu kakak terluka, tetapi kakak berusaha untuk memahami,” ujar Maira lagi.

Husna mula cuba memahami Zatty kerana faham gadis itu melalui alam remaja sehingga emosinya lebih sensitif. Selepas beberapa konflik, Husna mula mengubah pendekatan dan cara.

Husna tidak lagi terlalu banyak memberi arahan kepada Zatty, sebaliknya cuba menyayangi tanpa mengongkong, mendidik tanpa merendahkan dan memberi ruang tanpa melepaskan tanggungjawab.

Perlahan-lahan, pendekatan yang diambil Husna mula membuka ruang hati Zatty.

Tahun demi tahun berlalu. Hubungan Husna dengan anak-anak tiri semakin rapat. Husna memilih untuk mendekati anak-anak tiri sebagai kawan, manakala Zain pula memilih untuk menjadi jambatan antara mereka.

Tanpa disedari, sudah hampir 10 tahun Husna membina kehidupan bersama suami dan dua anak tirinya.

Husna berjaya membina hubungan dengan anak-anak tirinya, malah mereka juga menjadi tempat dia menumpahkan kasih sayang seorang ibu.

Walaupun tidak dikurniakan anak kandung, Husna tetap merasa kebahagiaan melalui kehadiran Zatty dan Danish yang dianggap seperti darah daging sendiri.

Terdapat banyak pengajaran daripada kisah yang dikongsikan minggu ini. Husna belajar mendengar, berlemah lembut, memahami emosi anak-anak tiri dan tidak memaksa mereka menerima dirinya dalam masa yang singkat.

Sebagaimana Allah SWT berfirman, “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri daripadamu,” – (Surah Ali -Imran ayat 159).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini