ISU keganasan dalam golongan remaja amat sinonim dan tidak asing lagi dalam perkembangan dunia moden malah merupakan isu sosial yang perlu diberi perhatian serius.
Di Negeri Sembilan sahaja, sebanyak 10,154 kes disiplin dilaporkan pada 2019. Kajian Mat Reffien dan rakan (2020) ke atas 40 buah sekolah di 11 negeri di Semenanjung Malaysia merekodkan sebanyak 22.4 peratus kadar prevalens tingkah laku keganasan melibatkan senjata dan pergaduhan fizikal dalam kalangan pelajar berumur 16 hingga 17 tahun.
Statistik ini membimbangkan, kerana bukan sahaja secara langsung mencederakan mangsa, malah turut memberi kesan terhadap perkembangan sosial remaja itu sendiri.
Takrifan remaja berbeza mengikut perspektif disiplin ilmu, peringkat perkembangan serta penetapan institusi dan perundangan.
Walau bagaimanapun, perbincangan ini memberi tumpuan kepada remaja bersekolah, iaitu yang masih berada dalam sistem pendidikan formal dan melalui fasa perkembangan fizikal, kognitif, emosi serta sosial yang signifikan. Inilah fasa yang perlu diberi perhatian memandangkan pada peringkat ini remaja sedang membina identiti diri, meneroka pengalaman baharu serta menginginkan kebebasan.
Namun, perkembangan tersebut turut menjadikan mereka lebih terdedah terhadap pengaruh persekitaran.
Dari sudut psikologi, tingkah laku agresif merujuk sebarang perlakuan yang dilakukan dengan niat untuk mendatangkan kemudaratan kepada individu lain.
Menurut Smit (2025), sikap agresif bukan hanya merujuk keganasan fizikal seperti memukul, menendang atau mencederakan seseorang tetapi juga boleh berlaku dalam bentuk agresif lisan, misalnya menjerit, menghina, mengejek atau mengeluarkan kata-kata bertujuan menyakitkan orang lain.
Dalam memahami tingkah laku ini, penting untuk membezakan antara tingkah laku marah yang biasa dengan perlakuan agresif. Kemarahan merupakan emosi semula jadi manusia, namun tidak semestinya menyebabkan seseorang berkelakuan agresif.
Sebaliknya, tindakan ketika sedang merasa marah bergantung keupayaan seseorang untuk memahami, mentafsir dan mengurus emosinya.
KESUKARAN MENGAWAL EMOSI
Dalam psikologi, keupayaan mengenal pasti, memahami dan mengurus emosi secara bersesuaian dikenali sebagai pengawalan emosi. Ia merupakan kemahiran yang membolehkan seseorang mengawal tindakan impulsif, menilai sesuatu keadaan secara rasional dan mengelak perlakuan yang memudaratkan.
Kesukaran mengawal emosi merupakan antara faktor psikologi yang sering dikaitkan dengan tingkah laku agresif dalam kalangan remaja.
Apabila berhadapan provokasi seperti diejek, dimalukan atau dimarahi, mebolehkan remaja yang kurang kemahiran pengawalan emosi boleh bertindak terburu-buru.
Namun tidak semua remaja menzahirkan kemarahan secara terbuka. Ada berjaya mengurus emosinya dengan baik. Ini kerana kajian terdahulu mendapati tindakan tersebut meningkatkan stres, mengakibatkan kemurungan dan kebimbangan, mengganggu komunikasi sosial selain mengurangkan tahap kepuasan hidup individu tersebut.
KELUARGA ASAS PENDIDIKAN EMOSI
Pengaruh institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah golongan remaja, khususnya dari segi masalah tingkah laku yang berleluasa dalam masyarakat hari ini.
Apabila suasana kekeluargaan dipenuhi pergolakan dan keganasan, boleh mengganggu daya pemikiran emosi lalu diterjemahkan melalui tindakan agresif.
Dalam menangani tingkah laku agresif remaja, pendekatan terbaik tidak seharusnya tertumpu kepada hukuman atau larangan semata-mata. Sebaliknya, ibu bapa perlu menyediakan ruang komunikasi yang selamat supaya anak-anak berasa selesa berkongsi masalah dan meluahkan perasaan.
Sebagai contoh, apabila anak pulang dari sekolah dalam keadaan marah kerana diejek rakannya, ibu bapa tidak seharusnya terus melarangnya berasa marah. Sebaliknya, mereka boleh mendengar penjelasan anak, mengenal pasti punca kemarahan dan membimbingnya memilih tindakan yang tidak menyakiti orang lain.
Pendekatan ini selari dengan konsep penilaian semula pemikiran dalam psikologi, iaitu usaha menilai semula sesuatu keadaan daripada perspektif berbeza bagi membantu mengurus emosi dengan lebih berkesan.
PENDIDIKAN EMOSI BERTERASKAN AKHLAK ISLAM
Pendidikan emosi penting dalam perkembangan remaja kerana membantu mereka mengenali, memahami, mengurus dan mengekspresikan emosi secara bersesuaian.
Melalui pendekatan pembelajaran sosial dan emosi, remaja dibimbing membina kesedaran kendiri, mengawal emosi, memahami perasaan orang lain, mengurus konflik dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.
Usaha menangani tingkah laku ganas remaja melalui pendekatan psikologi pendidikan ini bukan sahaja menekankan pembentukan akhlak, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan kemahiran emosi agar mampu mengawal tindak balas dan mengelakkan tingkah laku yang boleh memudaratkan diri serta orang lain.
Kaedah ini dibuktikan keberkesanannya berdasarkan kajian dilaksanakan Durlak dan rakan (2011) menunjukkan program pembelajaran sosial dan emosi di sekolah dapat meningkatkan kemahiran sosial dan emosi pelajar, selain dapat memperbaiki tingkah laku mereka.
Dalam Islam, kemampuan mengawal emosi kemarahan merupakan antara ciri kemuliaan akhlak seperti yang disebut dalam surah Ali’ Imran, ayat 134, bermaksud “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Selain itu, Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud “Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6114).
GENERASI MUDA MADANI
Dalam kerangka Malaysia Madani, nilai Ihsan menjadi asas penting dalam membentuk pendekatan pendidikan emosi yang berteraskan empati, kasih sayang dan keprihatinan terhadap perkembangan remaja.
Ini menunjukkan tingkah laku agresif tidak seharusnya ditangani melalui hukuman semata-mata, sebaliknya memerlukan kefahaman terhadap faktor emosi dan persekitaran yang mempengaruhi tindakan mereka.
Pendekatan ihsan bukan bermaksud membenarkan perlakuan agresif tetapi mendidik remaja supaya memahami kesan tindakan mereka terhadap orang lain, sekali gus membentuk keupayaan mengawal emosi secara matang dan bertanggungjawab.
Selain itu, nilai hormat juga boleh diterapkan dalam pendidikan emosi bagi membentuk remaja yang menghargai maruah, perasaan dan hak individu lain.
Dalam konteks ini, pendidikan emosi berperanan membimbing remaja memahami kemarahan merupakan sifat semula jadi, namun bukan alasan untuk bertindak agresif seperti mengejek, menghina atau membalas provokasi secara melulu. –UTUSAN
NUR Amirah Zolkepli ialah Pembantu Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
DR. A’isyah Mohd. Safien ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).








