Festival Idea pacu kekuatan negara

Festival Idea pacu kekuatan negara

FESTIVAL Idea Putrajaya (FOI) menjadi platform untuk mengembangkan ilmu, teknologi dan kepakaran tempatan demi memperkukuh keselamatan serta kedaulatan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESELAMATAN negara sering dikaitkan dengan kekuatan angkatan tentera, keupayaan persenjataan dan kawalan sempadan. Namun, ancaman masa kini semakin kompleks dan tidak lagi terbatas kepada konflik bersenjata.

Serangan siber boleh melumpuhkan perkhidmatan penting, gangguan rantaian bekalan menjejaskan ekonomi, perubahan iklim mengancam keterjaminan makanan, manakala manipulasi maklumat boleh menggugat kepercayaan rakyat.

Keadaan ini menunjukkan kedaulatan negara bukan lagi dipertahankan di medan tempur semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada keupayaan makmal penyelidikan, institusi pendidikan, pusat inovasi dan ruang digital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam konteks tersebut, Festival Idea Putrajaya (FOI) mempunyai kepentingan tersendiri. Dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), program ini menghimpunkan pemikir, pembuat dasar, ahli akademik dan pemain industri untuk berkongsi idea serta mencari penyelesaian terhadap cabaran negara dan dunia.

Matlamatnya untuk merakyatkan pendidikan tinggi, mengangkat budaya ilmu serta membina ekosistem pemikiran masa hadapan.

Edisi ketiga yang berlangsung pada 17 hingga 19 November, lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya membawa tema ‘Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani’.

Walaupun FOI bukan program pertahanan atau keselamatan negara, potensinya sebagai pemangkin kepada pembinaan keupayaan nasional tidak boleh dipandang ringan.

Dasar Keselamatan Negara 2021–2025 menggariskan pendekatan keselamatan menyeluruh yang merangkumi sembilan nilai teras, termasuk kedaulatan dan keutuhan wilayah, kestabilan sosio-politik, keutuhan ekonomi, keselamatan rakyat serta pengiktirafan antarabangsa.

Dokumen tersebut turut merangkumi domain daratan, maritim, udara, siber dan elektromagnetik, selain keselamatan tenaga, makanan, infrastruktur kritikal serta pengurusan komunikasi keselamatan.

Pertahanan moden memerlukan penguasaan teknologi, kepakaran dan keupayaan menghasilkan penyelesaian sendiri. Dron, kecerdasan buatan (AI), robotik, penderia, analitik data serta sistem komunikasi selamat berpotensi memperkukuh pemantauan sempadan, operasi mencari dan menyelamat, pengawasan maritim serta tindak balas bencana.

Dalam hal ini, universiti memainkan peranan penting melalui penyelidikan, pembangunan bakat dan pengujian teknologi yang memenuhi keperluan tempatan.

FOI 2024 memperlihatkan potensi tersebut apabila sebanyak 65 produk inovasi dan teknologi daripada institusi pendidikan tinggi dipamerkan. Antaranya termasuk dron untuk keselamatan, peralatan rawatan kesihatan serta sistem ramalan dan amaran banjir.

Hasil penyelidikan ini membuktikan keselamatan negara tidak hanya berkaitan persenjataan. Dron membantu meningkatkan kesedaran situasi, peralatan kesihatan menyokong kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, manakala sistem amaran banjir dapat melindungi nyawa, harta benda dan kesinambungan perkhidmatan awam.

Bayangkan negara seperti sebuah rumah besar. Angkatan tentera menjadi pagar dan pintu keselamatannya tetapi rumah itu tetap terdedah sekiranya bekalan elektrik terputus, sistem air tercemar, komunikasi gagal atau penghuninya tidak bersedia menghadapi kecemasan.

Inovasi universiti pula membantu membina sistem yang mampu mengesan bahaya lebih awal, menyampaikan maklumat dan menyokong tindakan sewajarnya. Inilah gambaran kepentingan keselamatan secara menyeluruh.

Pada masa sama, kebergantungan berlebihan terhadap teknologi, alat ganti, perisian dan kepakaran luar boleh mengehadkan pilihan negara ketika berlakunya krisis. Oleh itu, penyelidikan tempatan, pemindahan teknologi serta kerjasama universiti dan industri perlu diperkukuh bagi membina kedaulatan teknologi.

Usaha ini tidak bermaksud Malaysia perlu menghasilkan segala-galanya sendiri. Sebaliknya, negara mesti mempunyai kepakaran untuk menilai, menyelenggara, mengubah suai dan membangunkan teknologi kritikal tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.

Pameran inovasi FOI juga menyediakan ruang untuk mempertemukan penyelidik dengan syarikat, agensi kerajaan, pelabur dan pengguna sebenar.

Pada 2024, produk dipamerkan dikelompokkan mengikut kesediaan kerjasama, pengkomersialan atau kegunaan komuniti. Pendekatan ini membuka laluan supaya hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

Pada 2025, sebanyak 102 pertukaran perjanjian kerjasama, termasuk memorandum persefahaman, perjanjian dan surat hasrat, selain pelancaran produk dengan pulangan pelaburan melebihi RM172 juta.

 

KESELAMATAN SIBER, MAKLUMAT DAN MANUSIA

Ancaman terhadap negara turut berkembang melalui rangkaian digital. Serangan siber, kecurian data, penipuan dalam talian dan penyebaran maklumat palsu boleh menjejaskan institusi, ekonomi serta perpaduan masyarakat.

Justeru, penyelidikan dalam bidang keselamatan siber, AI, forensik digital, literasi media dan komunikasi strategik mempunyai kepentingan langsung terhadap keselamatan negara.

AI boleh membantu mengenal pasti corak ancaman, namun penggunaannya mesti disertai tadbir urus, perlindungan data, ketelusan dan pengawasan manusia.

Tema FOI 2026 turut mengangkat empat perkara strategik, termasuk peranan AI, usaha mengekalkan bakat tempatan, tanggungjawab institusi pendidikan tinggi melahirkan pembina negara menjelang 2040 serta pembangunan inovasi untuk kesejahteraan komuniti.

Pengisiannya merangkumi Sidang Idea Malaysia, forum dasar, pameran penyelidikan dan industri serta segmen inovasi yang melibatkan teknologi robotik, dron dan AI.

Usaha mengekalkan bakat tempatan amat penting kerana teknologi canggih tidak akan memberikan kelebihan sekiranya negara kekurangan penyelidik, jurutera, penganalisis dan tenaga mahir untuk mengendalikannya.

Keselamatan juga bermula dengan masyarakat yang berilmu, bersatu dan berdaya tahan. Rakyat yang mampu menilai maklumat, memahami risiko serta tidak mudah terpengaruh dengan manipulasi menjadi benteng penting dalam menghadapi operasi pengaruh.

Oleh itu, penyelidikan sosial, pendidikan, kesihatan dan inovasi komuniti tidak kurang penting berbanding teknologi pertahanan. Kestabilan negara turut bergantung pada keyakinan rakyat dan keupayaan masyarakat menghadapi krisis.

 

DARIPADA PAMERAN KEPADA KEUPAYAAN NEGARA

Cabaran seterusnya memastikan idea dipamerkan tidak berakhir sebagai tarikan sementara. Setiap inovasi berpotensi perlu mempunyai laluan pembangunan yang jelas, bermula dengan mengenal pasti keperluan agensi, menguji keberkesanan, memperkukuh keselamatan dan kebolehpercayaan, mendapatkan pensijilan serta menyediakan pembiayaan.

Bagi teknologi dwi-guna yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan awam atau pertahanan, aspek etika, keselamatan penyelidikan, hak harta intelek dan kawalan pemindahan teknologi juga perlu diberikan perhatian.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sebagai institusi berteraskan pertahanan, berpeluang menghubungkan penyelidikan akademik dengan keperluan keselamatan negara. Bidang keselamatan siber, sistem tanpa pemandu, teknologi marin, analitik ancaman, kepimpinan strategik dan komunikasi keselamatan boleh disesuaikan dengan keperluan agensi serta industri.

Namun, penyertaan berimpak bukan sekadar membawa sebanyak mungkin produk ke festival. Setiap hasil penyelidikan perlu mempunyai tujuan yang jelas, mengenal pasti ancaman yang ingin ditangani, keupayaan yang hendak dibangunkan serta manfaat boleh diukur.

Komitmen ini turut diterjemahkan melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim (PaKSI) yang mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Canselor UPNM.

Selaras dengan Pelan Strategik UPNM30, PaKSI menghimpunkan kepakaran pertahanan serta menjadi platform kerjasama strategik antara akademia, industri dan kerajaan bagi menghasilkan inovasi yang memberikan manfaat nyata kepada kedaulatan negara.

FOI 2026 turut merancang menghasilkan Risalah Idea Malaysia yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 agenda utama untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan tindakan lanjut.

Inisiatif ini membuka ruang untuk cadangan berkaitan daya tahan teknologi, keselamatan infrastruktur kritikal, pembangunan bakat dan inovasi strategik diterjemahkan kepada dasar, penyelidikan berfokus serta kerjasama berterusan. –UTUSAN

Akhirnya, kedaulatan bukan sekadar kemampuan mempertahankan sempadan tetapi juga keupayaan menentukan masa depan sendiri.

PROFESOR Dr. Aidy Ali ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini