KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) berhubung siasatan polis membabitkan surat bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada 25 November 2025 selepas AGC meneliti hasil siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, siasatan berhubung perkara itu dijalankan menerusi laporan polis Presint 7/8959/23.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil siasatan yang lengkap mendapati tidak menjumpai sebarang arahan dan kebenaran daripada pihak berkuasa Kerajaan dalam isu ini.
“Kertas siasatan selanjutnya telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Disember 2023 untuk penelitian dan arahan selanjutnya.
“Setelah meneliti hasil siasatan yang dikemukakan, Jabatan Peguam Negara pada 25 November 2025 telah memutuskan Tiada Tindakan Lanjut (TTL) atau No Further Action (NFA) ke atas siasatan ini,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada siasatan PDRM mendapati surat memohon sokongan Amerika Syarikat terhadap pentadbiran Najib menjelang PRU14 yang dihantar bekas Ketua Pengarah MEIO kepada CIA mendapat kebenaran atau arahan mana-mana pihak berkuasa kerajaan serta keputusan siasatan berkenaan. – UTUSAN











