PETALING JAYA: Kejayaan Farm Fresh Bhd. yang menerima sokongan modal awal daripada Khazanah Nasional Bhd. perlu dijadikan contoh dalam membangunkan lebih banyak syarikat berpotensi tinggi bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan menyediakan sokongan modal kepada syarikat berpotensi pada peringkat awal sebelum beralih kepada syarikat lain apabila perniagaan mencapai tahap kematangan wajar dijadikan rujukan.
“Kita berbangga dengan Farm Fresh kerana bukan sahaja ada di sini, malah telah berkembang ke beberapa negara lain.
“Kita juga mencatat kejayaan dari segi pengeluaran produk makanan dan dapat mengawal harga dengan cepat serta menjana hasil melalui eksport dan pelaburan di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan serentak menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tempatan lain malam ini.
Anwar menjawab soalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal mengenai pendekatan kerajaan dalam mengimbangi kebajikan pengguna dan daya maju pengeluar makanan susulan peningkatan kos pengeluaran akibat ketidaktentuan global.
Menurut Anwar, industri makanan dan pertanian negara kini berdepan tekanan besar akibat ketidaktentuan geopolitik dunia termasuk konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat serta perang Rusia-Ukraine.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kos pengangkutan perkapalan melonjak sehingga 10 kali ganda, sekali gus meningkatkan kos input import seperti fosfat yang melalui laluan strategik termasuk Selat Hormuz.
“Semua negara di Asia malah di Eropah kini menghadapi ketegangan politik dan sosial akibat kenaikan harga barang.
“Ini sebahagiannya kerana dasar fiskal negara (masing-masing) dan sebahagian lagi kerana kenaikan harga barangan import,” katanya.
Justeru Anwar berkata, kelemahan yang sekian lama membelenggu sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu ditangani secara lebih agresif oleh agensi berkaitan termasuk menyediakan akses kepada modal awal menerusi Agrobank.
Katanya, tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha meningkatkan hasil pengeluaran dengan memastikan bekalan input pertanian termasuk baja mencukupi, selain menambah baik infrastruktur pemasaran.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, penyaluran dana dalam jumlah besar perlu disertai tatakelola yang tegas bagi membanteras ketirisan dan budaya pemberian komisen.
“Tatakelola jangan diabaikan kerana ketirisan dana yang keterlaluan, apabila keadaan agak sistemik buruk, apabila diambil tindakan, reaksinya amat berat dan kemarahannya meluas sebab mereka selesa dengan (menerima) komisen,” katanya. – UTUSAN











