PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan sebelum Februari 2028, selaras dengan tempoh penggal pentadbiran kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pilihan raya itu mungkin berlangsung sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun depan.
“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah… ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah. Ia tidak ada lebih daripada itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan serentak menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tempatan lain malam ini.
Sejak kebelakangan ini, segelintir pihak mendesak supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU16 disegerakan untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Mengulas kemungkinan beliau terus menerajui kepimpinan negara selepas PRU16, Anwar berkata, komposisi kerajaan bergantung pada keputusan pilihan raya serta mandat diberikan rakyat kepada parti-parti politik.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau mahu memanfaatkan pengalaman dan kekuatan sedia ada untuk terus mengangkat martabat Malaysia di persada antarabangsa.
“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti. Tetapi kalau saya, tentulah saya nak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia.
“Saya pencinta negara. Saya yakin dengan keupayaan negara. Saya meletak harapan tinggi kepada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang diangkat menjulang menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan masyarakat supaya menilai setiap pandangan berkaitan agama berlandaskan ilmu dan fakta sahih, bukan menerima bulat-bulat pandangan politik yang berubah mengikut kepentingan semasa.
Katanya, tindakan sesetengah pihak menjadikan agama sebagai alat politik boleh mengelirukan masyarakat, khususnya mereka yang kurang memahami perbezaan antara hukum agama dengan pandangan politik.
“Padahal kenyataannya ini kan pendapat, pendapat politik. Sebab itu kadang-kadang dalam politik itu dua tahun sekali diubah fatwanya, tetapi orang anggap benda ini daripada tok guru, dia ikut betul. Padahal ini pandangan politik,” katanya.
Anwar berkata, perkembangan media sosial turut menimbulkan cabaran apabila sesiapa sahaja boleh tampil seolah-olah pakar dan mengeluarkan tafsiran sendiri mengenai agama atas kepentingan politik.
Justeru katanya, masyarakat perlu membudayakan sikap menyemak dan menilai setiap pandangan berdasarkan sumber serta fakta yang jelas tanpa mengira sama ada ia dikemukakan pemimpin kerajaan atau pembangkang.
Katanya, penerimaan sesuatu pandangan secara membuta tuli bukan sahaja menghalang perkembangan pemikiran kritis, malah boleh merendahkan kedudukan agama Islam dalam masyarakat. – UTUSAN











