MBI Perlis, Blue Whale Properties teroka potensi pembangunan Hab Kuala Perlis 

MBI Perlis, Blue Whale Properties teroka potensi pembangunan Hab Kuala Perlis 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Perlis berpotensi muncul sebagai hab maritim dan ekonomi bersepadu di wilayah utara negara menerusi cadangan pembangunan Hab Kuala Perlis yang bakal diteroka Perbadanan Menteri Besar Perlis (MBI Perlis) bersama Blue Whale Properties Sdn. Bhd. (BWP).

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak bagi meneroka potensi pembangunan projek berkenaan di kawasan pesisir pantai Kuala Perlis, sekali gus membuka ruang kepada pelaburan dalam sektor maritim, logistik, pelancongan dan infrastruktur digital.

Inisiatif menerusi visi pembangunan Northern Gateway oleh Blue Whale itu menyasarkan Kuala Perlis sebagai pusat kesalinghubungan strategik yang menghubungkan Langkawi, Thailand, utara Semenanjung Malaysia serta rantau ASEAN.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara komponen pembangunan yang berpotensi diteroka termasuk infrastruktur pelabuhan, terminal feri moden, kemudahan kapal Roll-on/Roll-off (Ro-Ro), terminal kapal persiaran, marina kapal layar serta hab logistik serantau.

Cadangan itu turut merangkumi perkhidmatan bekalan kapal, infrastruktur tenaga, pembangunan komersial pesisir pantai, hospitaliti, pelancongan, teknologi digital dan industri mampan.

Majlis pemeteraian MoA dihadiri Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Perlis, Azizi Ahmad; Pengerusi Kumpulan Blue Whale Properties, Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Baze Yeoh dan Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Liao Zhen Bing.

Turut hadir delegasi perniagaan antarabangsa termasuk Pengerusi Li Tai Group dari China merangkap Ahli Lembaga Pengarah Blue Whale Group, Dawa Wangdui.

Dalam perkembangan berkaitan, Blue Whale Properties turut memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik bagi meneroka peluang pelaburan dan pembangunan infrastruktur sokongan.

MoU pertama dimeterai bersama Attribute Global Ventures (AGV), yang diwakili Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan, Victor Tan, bagi meneroka peluang pelaburan strategik, mobilisasi modal, pembiayaan antarabangsa serta pembangunan infrastruktur digital.

MoU kedua pula dimeterai bersama GZ & Technologies Consultancy Sdn. Bhd., yang diwakili Pengarahnya, Karen Tan, bagi meneroka kerjasama dalam pembangunan pusat data, infrastruktur digital, konsultansi teknikal dan penyelesaian teknologi.

Kerjasama berkenaan mencerminkan usaha Blue Whale Properties menghubungkan peluang pembangunan di Malaysia dengan rangkaian modal antarabangsa, kepakaran industri serta sumber teknologi, khususnya menerusi hubungan perniagaan antara Malaysia, China, Singapura dan ASEAN.

Sementara itu, Blue Whale Properties berkata, kerjasama itu bertujuan membangunkan platform yang menyokong pembangunan mampan, perdagangan rentas sempadan serta penciptaan nilai ekonomi jangka panjang.

“Selain memperkukuh sektor maritim, inisiatif itu turut berpotensi merancakkan ekonomi biru, ekonomi hijau, ekonomi digital dan industri pelancongan, selain mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian ekonomi.

“Bagaimanapun, semua komponen pembangunan yang dicadangkan, struktur pelaburan dan jadual pelaksanaan masih tertakluk kepada kajian teknikal lanjut, kelulusan kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan, perjanjian definitif dan pertimbangan komersial,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini