KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan mampan jika mereka hanya berganding bahu di peringkat Persekutuan, tetapi bersaing sesama sendiri di pilihan raya negeri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata kerjasama politik perlu merentasi peringkat negeri bagi memastikan gabungan dibentuk mampu bertahan, selain mengelakkan pertembungan antara parti yang menjadi rakan dalam kerajaan pusat.
Katanya, beliau pernah mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai perkara itu ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk, berdasarkan pengalaman kerjasama politik terdahulu yang tidak bertahan lama.
“Ini sesuatu yang kita harus cuba elakkan. Kita harus cuba mengelakkan pergaduhan antara rakan gabungan kita di peringkat negeri,” katanya dalam podcast Ngopi Dengan Zafrul dikendalikan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Loke berkata, kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) pada enam pilihan raya negeri sebelum ini menunjukkan gabungan itu mampu bergerak bersama, namun keputusan berkenaan tidak semestinya memuaskan semua parti yang terbabit.
Beliau berkata, kerjasama politik berkesan perlu melangkaui persetujuan di peringkat pusat, memandangkan persaingan di negeri boleh menjejaskan persepsi pengundi terhadap gabungan yang membentuk kerajaan.
Katanya, kejayaan sesebuah kerajaan tidak wajar dikreditkan kepada satu parti sahaja, sebaliknya perlu dilihat sebagai hasil usaha kolektif semua pihak yang terbabit dalam pentadbiran.
“Pencapaian dalam pelaburan, pembangunan infrastruktur dan sektor pelancongan, misalnya, bukan bergantung kepada satu kementerian atau parti semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi dasar kerajaan, kemudahan, promosi serta faktor lain.
“Parti dalam kerajaan perlu memahami kerjasama bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, tetapi juga bagi memastikan kestabilan politik dan membolehkan kerajaan melaksanakan dasar serta membawa negara ke hadapan.
“Kerajaan tidak boleh bertahan atau berjaya jika hanya satu parti. Ia adalah keputusan kolektif. Jadi, apabila mengatakan kerajaan melakukan dengan baik, ia sepatutnya menjadi pencapaian kolektif, bukan kredit daripada mana-mana parti,” katanya.











