54 waris mangsa banjir Nepal terima bantuan kewangan one-off RM540,000 - Utusan Malaysia

54 waris mangsa banjir Nepal terima bantuan kewangan one-off RM540,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 54 waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu, menerima bantuan kewangan khas secara one-off berjumlah RM540,000.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata daripada jumlah itu, setiap waris masing-masing menerima bantuan RM10,000 yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 November lalu.

Beliau berkata, bantuan disalurkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keluarga mangsa dan membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka susulan tragedi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bantuan kedua yang disampaikan. Bantuan pertama dilaksanakan di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi kelulusan khas kepada 28 keluarga pencarum yang layak, membabitkan jumlah keseluruhan RM174,000.

“Hari ini, RM540,000 disalurkan kepada semua keluarga mangsa tragedi, hasil keputusan dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Banjir kilat melanda daerah Rasuwa di Nepal serta kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu, susulan runtuhan ais glasier dan batuan di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet.

Tragedi meragut lebih 1,400 nyawa, dengan kira-kira 5,700 individu termasuk lebih 600 warga asing masih dilaporkan hilang.

Susulan itu, media melaporkan seramai 28 daripada 54 mangsa, memenuhi syarat kelayakan caruman PERKESO, sekali gus melayakkan waris menerima faedah.

Bayaran keseluruhan berjumlah RM174,000 itu, meliputi bantuan kewangan segera RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan yang disalurkan kepada waris keluarga mangsa terbabit.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) turut diarah bagi membantu kesemua 54 keluarga terbabit, khususnya memastikan kebajikan dan keperluan mereka mendapat perhatian sewajarnya,

Ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Oktober lalu.

Ramanan menzahirkan penghargaan terhadap bantuan dan kerjasama semua agensi termasuk MITRA, Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mengendalikan pembayaran kepada keluarga mangsa.

“Selain itu, saya turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara dan PERKESO atas kerjasama menjayakan majlis pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Pegawai Bomba Kanan, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, Nurulhani Othman, 44, berkata bantuan khas itu dapat membantunya menyelesaikan hutang pembelian telefon bimbit serta beberapa komitmen kewangan lain yang ditinggalkan suaminya.

Beliau berkata, kira-kira sebulan sebelum berlepas ke Nepal, suami membeli telefon bimbit kerana telefon lamanya rosak.

“Jadi, kami bercadang menggunakan sebahagian daripada bantuan itu untuk menyelesaikan hutang berkenaan, selain melunaskan beberapa komitmen kewangan lain yang ditinggalkannya.

“Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kerajaan memberikan bantuan kepada waris seperti kami,” katanya.

Nurulhani yang sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fakhrul Munir, menyifatkan suaminya sebagai seorang yang gemar menyertai aktiviti lasak, pemurah serta tegas.

Beliau yang bekerja sebagai penasihat kewangan, berharap proses mendapatkan sijil anggapan kematian suaminya dapat disegerakan bagi membolehkannya menguruskan segala urusan yang masih tertangguh.

Katanya, sijil berkenaan amat penting bagi membolehkannya menyelesaikan pelbagai urusan termasuk komitmen kewangan yang ditinggalkan suaminya.

“Saya bersyukur dengan bantuan RM10,000 ini kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban kewangan yang perlu ditanggung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini