Teori perang dunia cetus pembelian panik

Teori perang dunia cetus pembelian panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penularan teori konspirasi mengenai kemungkinan tercetusnya perang dunia mencetuskan kebimbangan orang ramai sehingga mendorong pembelian bekalan makanan dan barangan keperluan kecemasan di seluruh dunia.

Gambar pantri dipenuhi makanan dalam tin, oat, kacang kering dan bateri simpanan turut membanjiri media sosial susulan tindakan orang ramai membuat persediaan menghadapi kemungkinan bencana.

United Kingdom (UK) dan Jepun baru-baru ini menasihatkan penduduk supaya memastikan bekalan keperluan asas di rumah mencukupi untuk sekurang-kurangnya tiga hari, termasuk makanan tahan lama, susu formula bayi dan kit pertolongan cemas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nasihat itu bertujuan mempersiapkan isi rumah menghadapi pelbagai ancaman, termasuk cuaca ekstrem dan konflik berpanjangan di Ukraine serta Iran.

Bagaimanapun, saranan itu mencetuskan pelbagai khabar angin dalam talian sehingga menimbulkan kebimbangan dan pembelian panik.

Pengguna media sosial di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia mengaitkan nasihat itu dengan gangguan sistem teknologi yang menjejaskan penerbangan serta aplikasi perbankan, selain mendakwa konflik global baharu bakal tercetus.

Pasukan penyemak fakta Agensi Berita AFP menafikan beberapa dakwaan yang tersebar, termasuk di Australia apabila pengguna media sosial secara palsu mendakwa kerajaan negara itu mengeluarkan arahan darurat di seluruh negara.

Dakwaan serupa turut menyasarkan Malaysia dan Korea Selatan, meskipun kedua-dua negara tidak mengeluarkan arahan baharu supaya penduduk menyimpan bekalan kecemasan.

Kebimbangan itu turut meningkatkan jualan barangan keperluan di beberapa pasar raya. Firma pelaburan Mizuho Securities melaporkan peningkatan pembelian bekalan kecemasan di Costco, manakala jualan makanan dalam tin di pasar raya Britain, Iceland, meningkat sementara sebanyak 40 peratus pada akhir Oktober lalu.

Pakar komunikasi Universiti Buffalo, Yotam Ophir berkata, maklumat tidak tepat mudah tersebar apabila orang ramai tidak mendapat penjelasan terperinci mengenai risiko dan langkah persediaan menghadapi bencana.

Beberapa negara turut memperkenalkan kempen kesiapsiagaan bencana, termasuk UK menerusi inisiatif ‘Be Ready’ pada 22 Oktober lalu. Langkah serupa turut dilaksanakan di Perancis, Ireland, Belanda dan negara lain di Eropah.

Pakar berkata, persediaan isi rumah penting bagi membolehkan pasukan penyelamat memberi tumpuan kepada golongan rentan ketika bencana. 

Namun, penyimpanan bekalan secara berlebihan boleh menyebabkan pembaziran, kekurangan barangan dan kenaikan harga yang membebankan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini