KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadlilan (AMK) mengibaratkan parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai sebuah kapal kecil yang telah karam sebelum sempat belayar ke mana-mana destinasi kerana tiada ideologi politik yang jelas melainkan politik fitnah dan kebencian.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Muhammad Ihsan berkata, selepas mengalami dua kekalahan yang memalukan dalam PRN Johor dan Melaka sehingga kebanyakan calon hilang deposit dan gagal mencapai sasaran undi popular, parti Kancil telah karam selepas ditolak oleh rakyat.
“Semua tahu mereka yang menyokong, mengundi parti Kancil ini adalah dalam kalangan mereka yang dahulunya menyokong Pakatan Harapan (PH) tetapi mahu segala-galanya terutama proses reformasi dilakukan dalam sekelip mata dan apabila tidak dapat dilakukan dengan cepat, mereka kecewa.
“Namun, PRN Johor dan Melaka menunjukkan bahawa golongan ini hanyalah dalam kumpulan kecil serendah empat peratus sahaja manakala sebahagian besar penyokong PH yang lain masih setia dengan perjuangan reformasi dan memberikan masa dan ruang kepada kerajaan,” jelasnya.
Sebelum ini, wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid berkata, keputusan PRN Melaka boleh dijadikan batu pengukur untuk Bersama bermuhasabah dan mengambil tindakan yang betul iaitu dengan membubarkan parti tersebut agar tidak lagi membazirkan dana dan memanipulasi tenaga kerja.
Khairul Azam Abdul Hamid berkata, Bersama pimpinan Rafizi itu wajar mengambil iktibar bahawa rakyat dari pelbagai kaum menolak politik kebencian, mengadu domba dan fitnah yang diamalkan parti tersebut sejak PRN Johor.
Mengulas lanjut, Muhammad Ihsan berkata, Rafizi Ramli perlu merubah strategi dan pendekatan politiknya selepas ini kerana beliau hanya diterima rakyat ketika bersama dengan PKR sebelum ini.
“Akhirnya perjuangan invididu itu tidak membawa natijah dan keputusan yang baik dalam PRN, bahkan untuk PH,
“Tidak dinafikan kita juga ada kelemahan, tetapi kita terbuka sebarang bentuk kritikan serta reformasi yang masih tertunda secara mesej halus kita minta mereka nilai semula hala tuju, bantu reformasi dengan kerjasama parti,” katanya. – UTUSAN











