KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) membeli sebanyak 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner secara terus daripada Boeing sebagai langkah memperbaharui armada pesawat badan lebar bagi penerbangan jarak jauh.
Pembelian itu turut disertakan pilihan untuk mendapatkan enam lagi pesawat tambahan sekali gus menyokong strategi pemodenan armada kumpulan penerbangan berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pemilihan Boeing 787 Dreamliner dibuat selepas melalui proses penilaian menyeluruh dan dikenal pasti sebagai pesawat paling sesuai untuk keperluan syarikat penerbangan nasional.
Katanya, Malaysia Airlines bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan varian pesawat berkenaan.
“Pesawat ini menawarkan kapasiti, fleksibiliti dan kecekapan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang kami.
“Lebih penting lagi, ia membolehkan kami terus meningkatkan pengalaman pelanggan selain memperkukuh daya saing dalam pasaran antarabangsa utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pertukaran Dokumen pembelian pesawat badan lebar bagi penerbangan jarak jauh MAG di sini, hari ini.
Majlis itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pembelian pesawat berkenaan turut menyokong usaha penggantian secara berperingkat tujuh pesawat Airbus A350 milik MA.
“ Kesemua pesawat itu dijangka dihentikan penggunaannya antara 2032 dan 2035,” katanya.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dikuasakan enjin GEnx keluaran GE Aerospace itu dijadualkan untuk diserahkan kepada MAG dalam tempoh sama, iaitu antara 2032 hingga 2035. – UTUSAN











