TikTok alami gangguan di AS selepas CIA digodam

TikTok alami gangguan di AS selepas CIA digodam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berdepan satu lagi gangguan teknologi semalam apabila aplikasi TikTok mengalami masalah akses, beberapa jam selepas Agensi Perisikan Pusat (CIA) dilaporkan menjadi sasaran serangan siber.

Insiden itu menambah senarai gangguan sistem teknologi yang melanda pelbagai sektor utama negara berkenaan sejak beberapa minggu lalu, termasuk perkhidmatan Microsoft, sistem perbankan, komunikasi dan operasi penerbangan.

Rentetan kejadian itu mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan serta kebergantungan negara berkenaan kepada sistem teknologi yang menjadi sebahagian daripada urusan harian jutaan penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

12 November lalu, operasi pejabat di seluruh dunia terjejas apabila rangkaian produk Microsoft termasuk Outlook, Teams dan pembantu kecerdasan buatan (AI), Copilot mengalami gangguan hampir sehari.

Menurut Microsoft, lebih 430 juta pengguna menggunakan aplikasi Microsoft 365, manakala laman penjejak gangguan dalam talian, Downdetector merekodkan laporan daripada pengguna di lebih 70 negara dan wilayah.

Gangguan itu turut menjejaskan operasi hospital, pasukan polis serta sekolah.

Ketika Microsoft masih berusaha memulihkan perkhidmatannya, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pula mengeluarkan arahan henti terbang bagi semua penerbangan di AS susulan kerosakan pada penghala baharu yang menjejaskan sistem kawalan trafik udara negara itu.

Data laman penjejak penerbangan, FlightAware menunjukkan hampir 25,000 penerbangan mengalami kelewatan, manakala lebih 9,000 lagi dibatalkan pada Jumaat.

Gangguan berlarutan hingga pagi Sabtu dengan lebih 4,000 pembatalan direkodkan, bersamaan kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan penerbangan berlepas dari AS.

Pada 16 November, pengguna di AS sekali lagi melaporkan masalah mengakses aplikasi perbankan beberapa institusi kewangan utama menerusi Downdetector sebelum puncanya dikenal pasti berpunca daripada Chase Bank.

Beberapa jam kemudian, United Airlines terpaksa menggantung sementara semua penerbangannya di AS selama kira-kira satu jam 40 minit, menyebabkan sekitar 600 penerbangan mengalami kelewatan.

Rentetan gangguan berterusan pada 17 November apabila rangkaian komunikasi sulit milik Agensi Keselamatan Negara (NSA) AS mengalami masalah teknikal.

Perkhidmatan dalam talian Apple termasuk Apple Music, App Store dan iCloud turut mengalami gangguan pada petang hari sama sehingga menyukarkan pengguna log masuk serta mengaktifkan peranti baharu.

Sementara itu, masalah teknikal pada sistem automatik pengiraan berat pesawat menyebabkan lebih 1,000 penerbangan Delta Air Lines mengalami kelewatan pada Ahad lalu ketika orang ramai mula melakukan perjalanan sempena cuti umum Hari Kesyukuran.

Terbaharu pada Selasa, lebih 26,200 pengguna TikTok melaporkan masalah mengakses aplikasi itu menerusi Downdetector.

Pada hari sama, FAA turut mengeluarkan arahan henti terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O’Hare susulan kerosakan peralatan, hanya beberapa jam selepas CIA dilaporkan menjadi sasaran serangan siber terbaharu terhadap agensi perisikan AS itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini