PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 1-1 dengan kelab Thailand, Ratchaburi FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Ratchaburi, sebentar tadi.
JDT yang tewas 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors FC sebelum ini membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi Joao Figueiredo, namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Sembilan minit kemudian, giliran Ratchaburi pula menguji kubu JDT dengan tandukan Pablo Insua yang memaksa penjaga gol Harimau Selatan, Andoni Zubiaurre melayangkan badan untuk menepis percubaan itu.
Permainan rancak terus dipamerkan kedua-dua pasukan dan tuan rumah sekali lagi mencemaskan pasukan pelawat menerusi rembatan Ekanit Panya yang hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
JDT turut memiliki peluang untuk berada di depan pada minit ke-29, namun rembatan deras Figueiredo diselamatkan penjaga gol Ratchaburi, Kampol Pathomakkakul.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus Marcos Guilherme tujuh minit kemudian apabila dia mudah menolak bola ke dalam gawang selepas Pathomakkakul gagal menepis dengan kemas bola hantaran lintang Figueiredo.
Ratchaburi cuba bangkit dengan menggandakan asakan ke kubu JDT dan usaha mereka berhasil pada minit ke-56 menerusi Njiva Rakotoharimalala yang bijak memperdaya pemain JDT sebelum melepaskan rembatan menewaskan Zubiaurre.
JDT memperoleh beberapa peluang selepas itu untuk kembali berada di depan, namun gagal menemui jaringan termasuk sepakan percuma Oscar Arribas pada minit ke-69 yang hanya sedikit melepasi palang.
Nasib terus tidak menyebelahi skuad kendalian Xisco Munoz apabila tandukan Stoichkov di dalam kotak penalti pada masa kecederaan juga tidak menepati sasaran, sekali gus kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat.
Selepas mengharungi lima perlawanan, JDT kini mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.











