GEORGE TOWN: Minat terhadap teknologi yang sentiasa berkembang serta mahu mencabar kemampuan diri mendorong dua wanita daripada latar belakang berbeza memilih bidang pembungkusan semikonduktor termaju sebagai laluan untuk mengembangkan kerjaya masing-masing.
Kedua-duanya, Phang Jia Xin, 25, dan Qistin Ahmat, 42, merupakan dua penerima sulung Ijazah Sarjana Sains dalam Pembungkusan Semikonduktor Termaju (Master of Science in Advanced Semiconductor Packaging) daripada Universiti Sains Malaysia (USM).
Bagi Jia Xin, keputusan menyambung pengajian dalam bidang berkenaan dibuat selepas beliau tertarik dengan industri pembungkusan semikonduktor ketika menjalani latihan industri selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer di universiti sama.
“Pengalaman ketika latihan industri membuka minat saya untuk mendalami bidang ini selain melihat program sarjana di USM sebagai peluang untuk membina asas pengetahuan sebelum melangkah ke industri semikonduktor.
“Walaupun bidang kejuruteraan dan semikonduktor masih didominasi lelaki, ia tidak pernah menjadi penghalang untuk saya menceburi dan meneroka bidang semikonduktor,’’ katanya selepas menerima ijazah berkenaan pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini semalam.
Menurutnya, industri semikonduktor yang sentiasa berubah dan berkembang menjadikan bidang itu cukup mencabar malah dia memperoleh kepuasan tersendiri apabila berjaya menyelesaikan sesuatu masalah teknikal.
Mengulas cabaran sebagai antara kumpulan perintis program sarjana itu, Jia Xin berkata, kekurangan pengalaman bekerja menyebabkan dia pada awalnya berdepan jurang pemahaman antara pembelajaran teori di bilik kuliah dengan situasi sebenar dalam industri.
Bagaimanapun, dia mendapatkan pandangan pensyarah, penyelia ketika menjalani latihan industri serta rakan-rakan yang sudah bekerja dalam industri bagi membantu memahami perkembangan dan keperluan semasa bidang berkenaan.
Sementara itu, Qistin berkata, keputusan menyambung pengajian dibuat berdasarkan pengalaman selama 16 tahun dalam industri semikonduktor selain mahu memahami dengan lebih mendalam perkembangan teknologi pembungkusan termaju.
Dia yang bekerja sebagai jurutera pemprosesan di sebuah kilang semikonduktor di Bayan Lepas berkata, pengajian itu memberi peluang untuk menilai kesesuaian silibus akademik dengan keperluan sebenar industri yang semakin berkembang.
“Walaupun sudah mempunyai pengalaman mengendalikan teknologi pembungkusan termaju di tempat kerja, saya masih melihat keperluan untuk memperkukuh pengetahuan teori, struktur dan proses berkaitan teknologi berkenaan.
“Saya mengikuti pengajian secara separuh masa dan berjaya menamatkannya dalam tempoh setahun berbanding tempoh minimum dua tahun yang ditetapkan meskipun perlu membahagikan masa antara tuntutan kerja, kuliah dan penyelidikan,’’ katanya.
Katanya, pengurusan masa serta pengorbanan menjadi cabaran utama kerana tuntutan kerja kadangkala melebihi 12 jam sehari sebelum perlu menghadiri kelas pada waktu malam dan menyiapkan penyelidikan untuk tesis.-UTUSAN.











