PASIR GUDANG: “Kalau saya tiada, jaga anak elok-elok,”. Itu pesan Sitti Aisah Ismail, 49, kepada suaminya, Nadsmi Idris, 45, beberapa jam sebelum terlibat kemalangan maut selepas mendaftar masuk anak mereka di sebuah universiti kelmarin.
Nadsmi berkata, dia tertanya-tanya mengapa arwah isterinya berkata sedemikian selepas makan bersama anak-anak dan cucunya kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Saya cakap kepadanya, kenapa cakap begitu, jangan cakap begitu ,tak baik.
“Apabila fikir semula, saya tertanya-tanya kenapa dia berkata begitu, seolah-olah memberi petanda dia akan pergi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Layangsuka, di sini, semalam.
Kelmarin, kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena yang dipandu Nadsmi terlibat kemalangan di Kilometer 159.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Tangkak ketika dalam perjalanan pulang menghantar anak mereka ke Universiti Islam Melaka.
Kemalangan tersebut mengorbankan Sitti Aisah bersama anak bongsu mereka, Ataullah Aidan, 14, dan cucunya, Fattah Athar Abdul Fattah Dayyan, dua tahun.
Dalam kejadian itu, dua lagi yang terselamat ialah anak perempuan ketiganya dan cucu sulungnya yang berusia empat tahun.
Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, di sini pukul 10.30 pagi semalam.
Menurut Nadsmi, mereka sekeluarga bertolak dari rumah pada pukul 11 malam hari Ahad dan tiba di Melaka sekitar pukul 4 pagi sebelum singgah tidur di masjid dan menyambung urusan pendaftaran anak.
Katanya, ketika kemalangan berlaku, dia memandu dengan kelajuan sekitar 110 kilometer sejam sebelum sebuah kenderaan lain tiba-tiba meluru laju di laluan sebelah yang menyebabkan dia terkejut dan hilang kawalan.
“Kereta saya terbabas masuk ke kawasan berumput sebelum terlanggar pembahagi jalan dengan kuat hingga naik ke atas pembahagi jalan,” katanya.
Berkongsi mengenai detik hitam itu, Nadsmi yang bekerja sebagai jurukimpal di Singapura berasa sangat sedih melihat tubuh isteri, anak dan cucunya yang lemah dan tak bermaya.
Katanya, dia berasa paling sebak apabila melihat anak lelakinya meninggal dunia dalam keadaan tersepit di tempat duduk belakang dan tidak berupaya untuk mengangkatnya keluar.
“Saya yang masih sedar selepas pelanggaran itu, mengangkat keluar isteri dan yang lain, cuma terkilan tak dapat bantu anak yang tersepit,” katanya.-UTUSAN.










