MUKADIMAH
Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang perundangan serta penglibatan aktif dalam politik sejak pertengahan tahun 1990-an, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Datuk Haw Chin Teck mahu membawa pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, HANAFI ZULKEFLI, beliau menegaskan agenda pembangunan yang dibawanya merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, dengan penekanan kepada agropelancongan Gunung Ledang, jenama “Tangkak First” serta penubuhan badan pemikir anak muda.
UTUSAN: Visi utama anda?
CHIN TECK: Saya mahu menjadikan Tangkak kawasan yang berkembang pesat melalui peluang pekerjaan bergaji tinggi, pelaburan berkualiti serta pembangunan ekonomi mampan.
Segala perancangan itu akan diselaraskan dengan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati penduduk secara menyeluruh.
Aropelancongan pemangkin penting ekonomi Tangkak?
Agropelancongan berasaskan Gunung Ledang bukan sekadar aktiviti pelancongan biasa, tetapi satu ekosistem ekonomi yang boleh menjana rantaian nilai baharu kepada Tangkak. Kedudukan Gunung Ledang yang sudah pun dikenali dari segi sejarah dan keunikan alam semula jadi memberi kelebihan kompetitif yang sukar ditandingi oleh kawasan lain jika dibangunkan secara terancang dan berstruktur.
Pada masa sama, saya menekankan pembangunan ini perlu bergerak seiring dengan infrastruktur sokongan yang lengkap termasuk hotel bertaraf tinggi, sistem pengangkutan yang cekap serta perkhidmatan pelancongan profesional seperti pemandu pelancong terlatih. Apabila semua komponen ini digerakkan secara bersepadu, ia bukan sahaja meningkatkan jumlah kedatangan pelancong, tetapi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan pendapatan penduduk tempatan serta mengukuhkan kedudukan Tangkak sebagai destinasi pelancongan.
Anda cadangkan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan, apa rasionalnya?
Ia sangat penting kerana Tangkak mempunyai kekuatan sedia ada dalam sektor pertanian, khususnya pengeluaran durian yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa. Namun, tanpa inovasi, hasil seperti durian hanya bergantung kepada jualan mentah yang terdedah kepada isu lambakan dan harga tidak stabil.
Melalui usaha itu kita boleh membangunkan teknologi pemprosesan dan pengawetan durian seperti pes, aiskrim, produk sejuk beku atau bahan asas industri makanan bernilai tinggi. Ini bukan sahaja memanjangkan jangka hayat produk, malah membuka peluang kepada industri hiliran.
Penubuhan badan pemikir untuk anak muda?
Jika diberi mandat, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi membuka ruang kepada anak muda menyampaikan idea serta pandangan dalam membangunkan Tangkak.
Cadangan itu akan menghimpunkan golongan muda dari pelbagai latar belakang seperti peguam, doktor, jurutera dan akauntan bagi menyumbangkan idea pembangunan.
Apabila semua cadangan telah diperoleh, ia itu akan diteliti sebelum digabung menjadi pelan tindakan yang praktikal supaya pembangunan Tangkak berpandukan pandangan pelbagai lapisan masyarakat.
Anda turut cadangkan jenama Tangkak First, apakah matlamat utama inisiatif tersebut?
Jenama ‘Tangkak First’ bertujuan mengiktiraf makanan dan produk tempatan yang mempunyai identiti tersendiri supaya lebih mudah dipromosikan ke pasaran lebih luas.
Penggunaan jenama bersama itu mampu meningkatkan pengiktirafan terhadap produk Tangkak sekali gus merancakkan ekonomi usahawan tempatan daripada semua kaum. – UTUSAN










