Negeri Sembilan bakal dapat Menteri Besar baharu?

Negeri Sembilan bakal dapat Menteri Besar baharu?

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim semasa sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan dijangka bakal mempunyai seorang Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Datuk Ismail Lasim.

Ia selepas kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan difahamkan akan ditentukan pada minggu ini selepas semua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpendirian hilang kepercayaan terhadapnya.

Perkara itu dijangka dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada minggu ini juga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi itu sekali gus menya­ksikan Negeri Sembilan bakal menerima Menteri Besar baharu dalam tempoh tiga bulan selepas pelantikan Ismail yang juga ADUN Juasseh pada 2 Ogos lalu.

Menurut sumber, semua 24 ADUN BN dan PN membuat pendirian itu menerusi satu warkah yang bakal disampaikan dalam masa terdekat apabila kepimpinan UMNO serta BN menghadap Tuanku Muhriz minggu ini.

Katanya, pelantikan Menteri Besar bakal dibuat sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlangsung pada minggu depan.

“Minggu ini insya-Allah selesai isu kepimpinan Negeri Sembilan dengan pelantikan Menteri Besar yang baharu dibuat minggu ini manakala sidang DUN pada minggu depan.

“Oleh itu, Belanjawan Ne­geri Sembilan 2027 bakal dibuat awal Disember selepas pembukaan sidang DUN nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan seramai 24 ADUN BN dan PN akan mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk memaklumkan bahawa Ismail tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat sebagai Menteri Besar.

Warkah berkenaan menjadi perkembangan terbaharu kemelut politik negeri ini yang menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Me­syuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu yang dijadualkan berlangsung pada Ahad lalu tidak dapat diteruskan.

Menurut sumber, majlis ber­kenaan tidak dapat diteruskan selepas beberapa individu yang sebelum ini dikaitkan dengan pelantikan barisan Exco baharu dipercayai menarik diri pada saat akhir.

Sebelum ini, seramai 24 ADUN BN dan PN Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan dalam penyelesaian kemelut politik di negeri ini dalam satu pertemuan berlangsung di Wisma UMNO Ne­geri Sembilan.

Sementara itu difahamkan, tiga kepemimpinan utama UMNO iaitu Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dijangka menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, esok.

Ia bertujuan untuk mempersembahkan keputusan parti yang dicapai dalam pertemuan di Wisma UMNO Negeri Sembilan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini