Kemasukan pesakit di Hospital Melaka tinggi berbanding Alor Gajah, Jasin - Utusan Malaysia

Kemasukan pesakit di Hospital Melaka tinggi berbanding Alor Gajah, Jasin

LIM BAN HONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hospital Melaka merekodkan purata 185.69 kemasukan pesakit dalam sehari berbanding hanya 29.03 di Hospital Alor Gajah dan 21.69 di Hospital Jasin akan diberi perhatian menerusi usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Lim Ban Hong berkata, antara pendekatan adalah memperkukuh kerjasama dengan hospital swasta bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dan penyediaan laporan perubatan.

Beliau berkata, perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) berhubung isu berkenaan akan dilakukan termasuk meneliti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksana bagi mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan di Hospital Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha ini akan menjadi satu usaha berterusan. Minggu depan saya sudah mempunyai jadual untuk ke Hospital Melaka dan bertemu JKN.

“Kita akan melihat satu persatu penambahbaikan yang telah dilakukan sebelum ini, termasuk kerjasama dengan hospital swasta serta kemudahan dan fasiliti perubatan itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang pertama bagi penggal ke-16 di Seri Negeri di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik Petunjuk Kesihatan 2025 Kementerian Kesihatan (KKM), Hospital Melaka merekodkan 67,963 kemasukan pesakit sepanjang 2024 berbanding 10,624 di Hospital Alor Gajah dan 7,937 di Hospital Jasin.

Hospital Melaka turut mempunyai 1,138 katil operasi dengan kadar penggunaan katil sebanyak 75.20 peratus manakala Hospital Alor Gajah mencatatkan 85.39 peratus dan Hospital Jasin sebanyak 66.17 peratus.

Ban Hong berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan KKM berhubung keperluan menambah anggota perubatan atau peralatan bagi mempercepat pemeriksaan dan penyediaan laporan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini