KUALA LUMPUR: Ragbi Malaysia (MR) merancang empat program latihan luar negara bagi memperkukuh persiapan skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki dan wanita dalam menghadapi Sukan SEA 2027.
Presidennya, Amir Amri Mohamad berkata, Afrika Selatan, New Zealand dan Australia antara destinasi pilihan bagi meningkatkan prestasi kedua-dua skuad kebangsaan sebelum temasya berlangsung pada September depan.
Menurutnya, perancangan itu mendapat persetujuan dasar Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Bil. 2/2026, namun pemilihan destinasi masih tertakluk kepada peruntukan.
“Kami mendapat persetujuan untuk mengadakan empat program latihan luar negara. Antara pilihan kami ialah Afrika Selatan, New Zealand dan Australia, tetapi semuanya bergantung kepada peruntukan yang diluluskan.
“Kami sudah memaklumkan destinasi yang ingin dituju, namun butiran peruntukan masih belum diberikan. Maklumat lanjut akan diketahui selepas minit mesyuarat dikeluarkan,” katanya selepas mesyuarat JKK di MSN, Bukit Jalil, kelmarin.
Amir berkata, pihaknya turut mendapat persetujuan dasar bagi latihan dalam negara, penyertaan kejohanan antarabangsa serta pemberian elaun kepada pemain skuad lelaki dan wanita.
Beliau menjelaskan, kedua-dua skuad lelaki dan wanita dijadual memulakan latihan sepenuh masa bersama jurulatih pada Januari depan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 yang berlangsung September nanti.
“Secara dasarnya, semua permohonan kami mendapat persetujuan MSN. Pemain dan jurulatih juga akan mengikuti program latihan sepenuh masa sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan.
“Setakat ini, tiada perkara yang tidak dipersetujui. Kami berharap program persiapan dapat dimulakan pada Januari seperti yang dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Amri berkata, senarai atlet yang akan mengikuti latihan pusat masih belum dimuktamadkan dan mungkin dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) terlebih dahulu.
“Diharapkan segala perancangan bersama MSN dapat dilaksanakan dengan lancar bagi membantu skuad ragbi lelaki mencapai sasaran emas dan pasukan wanita membawa pulang pingat perak,” katanya.
Untuk rekod, skuad wanita 7s negara meraih perak selepas tewas kepada tuan rumah pada aksi final Sukan SEA Thailand 2025 manakala pasukan lelaki pulang dengan tangan kosong. – UTUSAN











