KOTA KINABALU: Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar PH Sabah membuat persiapan awal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata perkara terbabit merupakan antara amanat dikongsikan Anwar dalam Konvensyen Keadilan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MTAC) hari ini.
“Antaranya adalah Perdana Menteri memohon supaya jentera parti ini dapat bersedia untuk menghadapi PRU.
“Beliau juga meminta supaya ahli-ahli parti ini memahami apa isu yang berkaitan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk (perkara berkaitan) hasil 40 peratus seperti saya telah jelaskan sebelum ini.
“Selepas ini, kita akan bergerak mengadakan mesyuarat agung di setiap cabang dan kemudian kita akan membuat kongres parti pada bulan Jun nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ketika ditanya pemberita berhubung jumlah kerusi Parlimen yang telah disasarkan menjelang PRU kelak, beliau menjelaskan perkara terbabit belum diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi.
“Belum ada (sasaran kerusi). Sebab inilah kita cuba menaikkan semula semangat selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) lepas. Semua pun sudah maklum (dalam PRN17), kira hanya dapat satu kerusi,” katanya.
Sementara itu, Mustapha turut ditanya sekiranya sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar, beliau menyerahkan keputusan itu sepenuhnya kepada Anwar yang juga merupakan Presiden PKR.
“Kalau presiden membenarkan, Insya Allah saya masih lagi berminat untuk bertanding di Sepanggar,” katanya. – UTUSAN










