Ketidaktentuan dasar AS uji momentum pelaburan pusat data negara

Ketidaktentuan dasar AS uji momentum pelaburan pusat data negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat (AS) berhubung pembangunan pusat data dan eksport cip kecerdasan buatan (AI) berpotensi mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat teknologi global, sekali gus menguji momentum pertumbuhan industri pusat data di Malaysia.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkembangan itu perlu diberikan perhatian serius memandangkan pusat data bukan lagi sekadar infrastruktur hartanah atau pembinaan, sebaliknya sebahagian daripada infrastruktur strategik ekonomi AI global.

Menurutnya, terdapat dua perkembangan dasar AS yang perlu diberikan perhatian, iaitu kenyataan Presiden AS, Donald Trump pada 20 November 2026 mengenai kemungkinan mengenakan cukai atau penalti besar terhadap syarikat AS yang membina pusat data di luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkembangan kedua pula membabitkan peraturan Jabatan Perdagangan AS yang berkuat kuasa pada 19 November 2026, melibatkan kawalan pelesenan eksport cip AI canggih ke negara termasuk Malaysia, selain mengehadkan penggunaan kapasiti pengkomputeran di pusat data luar negara oleh entiti dari negara yang dikenakan sekatan.

“Kedua-dua perkembangan itu berpotensi mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat teknologi Amerika di luar negara melalui tiga aspek utama, iaitu kos pelaburan, akses kepada teknologi dan ketidakpastian pelanggan.

“Dari segi kos, syarikat AS mungkin perlu menilai semula perbelanjaan, risiko kawal selia dan strategi pengembangan pusat data masing-masing.

“Pada masa sama, sekatan eksport cip AI boleh menjejaskan akses pengendali kepada perkakasan, manakala ketidakpastian pelanggan meningkatkan keperluan pematuhan terhadap peraturan AS, katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Barjoyai berkata, tidak semua pelaburan pusat data di Malaysia akan terjejas kerana pusat data yang menyediakan perkhidmatan awan, penyimpanan dan pemprosesan data mempunyai model perniagaan berbeza daripada pusat data khusus untuk latihan model AI berskala besar.

Katanya, ketidaktentuan dasar itu boleh menyebabkan penangguhan projek, khususnya yang bergantung kepada cip AI, pembiayaan syarikat teknologi dan pelanggan dari negara yang dikenakan sekatan AS.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan kesannya lebih tertumpu kepada penilaian semula, penjadualan dan pelaksanaan projek berbanding pembatalan keseluruhan pelaburan.

“Pelabur mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menantikan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan dasar, syarat pelesenan serta pengecualian yang dibenarkan.

“Dari segi nilai pelaburan, skala industri pusat data negara perlu diambil kira. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan berkaitan pusat data di Malaysia dari 2021 hingga separuh pertama 2026 mencapai RM385.7 bilion,” jelasnya.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd. (RHB IB) berkata, cadangan sekatan oleh AS terhadap syarikat-syarikat negara itu berpotensi mencetuskan semula kebimbangan mengenai kadar penganugerahan kontrak pusat data pada masa depan di Malaysia.

“Ketidakpastian ini timbul susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat lepas mengenai rancangan beliau untuk menyekat syarikat-syarikat AS daripada membina pusat data di negara lain.

“Ia walaupun perincian mengenai dasar dicadangkan itu serta pelaksanaannya masih belum jelas,” katanya.

Menurut RHB IB, sekiranya sekatan tersebut dilaksanakan, ia mungkin mendorong kontraktor untuk menilai semula prospek projek pusat data pada masa hadapan sehingga terdapat kejelasan.

“Pada Januari, 2025, apabila cadangan peraturan AS mengenai penyebaran kecerdasan buatan (AI) diumumkan, kami melihat trend umum penganugerahan kontrak pusat data di Malaysia terhenti seketika selama kira-kira empat hingga enam bulan, memandangkan pemaju pusat data mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” menurut kenyataan itu.

“Bagaimanapun, potensi sekatan itu mungkin mewujudkan peluang bagi pemaju pusat data tempatan seperti EXSIM, AIMS Group, Open DC, dan YTL Data Centers serta pemain bukan dari AS seperti NEXTDC dan AirTrunk untuk menyewakan kapasiti kepada syarikat teknologi AS yang tidak dapat membina kemudahan sendiri di luar negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini