Sentimen global pacu pemulihan Bursa Malaysia

Sentimen global pacu pemulihan Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan berpotensi mencatatkan pemulihan teknikal minggu ini, didorong perubahan sentimen pelabur global, khususnya terhadap sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Remisier Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar berkata, sektor teknologi dan semikonduktor dijangka menjadi antara pemacu utama pemulihan pasaran, diikuti saham terpilih dalam sektor utiliti dan pembinaan yang mempunyai pendedahan kepada pembangunan pusat data serta infrastruktur AI.

Menurutnya, sektor perbankan turut dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI), berikutan wajaran besar sektor itu dalam indeks berkenaan serta musim pengumuman keputusan kewangan suku ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, Maybank pada Isnin mengumumkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun kepada RM2.74 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026.

“Dalam pada itu, sektor penjagaan kesihatan dan telekomunikasi kekal menarik sebagai pilihan defensif apabila kedua-duanya merekodkan belian bersih institusi asing masing-masing sebanyak RM111.6 juta dan RM60.8 juta minggu lalu.

‘Bagaimanapun, institusi asing secara keseluruhan masih mencatatkan jualan bersih sebanyak RM279.2 juta, sekali gus melanjutkan aliran keluar dana asing untuk minggu kedua berturut-turut.

“Justeru, kesinambungan pemulihan pasaran turut bergantung kepada kesediaan pelabur asing untuk kembali meningkatkan pendedahan mereka kepada saham tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas perkembangan yang bakal mempengaruhi pasaran, beliau berkata, pelabur antarabangsa akan memberikan perhatian kepada beberapa data ekonomi utama AS, termasuk data keyakinan pengguna pada Selasa serta pertumbuhan ekonomi dan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) pada Rabu.

Katanya, data berkenaan penting bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang mempengaruhi pergerakan dolar AS, ringgit dan aliran dana asing ke pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia.

“Selain itu, penutupan pasaran saham AS sempena sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving) pada Khamis berpotensi mengurangkan penyertaan pelabur global dalam dagangan menjelang penghujung minggu.

“Di peringkat domestik, pengumuman keputusan kewangan suku ketiga syarikat tersenarai serta perkembangan peluasan FBM KLCI daripada 30 kepada 50 saham turut menjadi perhatian pelabur.

“Tarikh 23 November merupakan tarikh penentuan berdasarkan permodalan pasaran bagi pemilihan konstituen baharu, tertakluk kepada kriteria kelayakan, manakala senarai akhir dijadualkan diumumkan pada 3 Disember ini.

“Perubahan komposisi indeks itu berpotensi mempengaruhi strategi peruntukan dana dan pelarasan portfolio pelabur institusi menjelang Disember,” katanya.

Jeffry berkata, dari sudut ekonomi, asas domestik Malaysia kekal menyokong prospek pasaran dalam jangka sederhana apabila ekonomi berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, disokong prestasi eksport yang kukuh serta permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Dari sudut teknikal, saya menjangkakan FBM KLCI berpotensi bergerak dalam lingkungan 1,545 hingga 1,590 mata sepanjang minggu ini.

“Paras 1,545 hingga 1,550 mata merupakan zon sokongan penting, manakala 1,580 hingga 1,590 mata menjadi zon rintangan yang perlu diperhatikan sekiranya momentum pemulihan berterusan.

“Walaupun terdapat perkembangan positif, kenaikan mendadak dalam satu sesi dagangan belum semestinya menandakan berakhirnya trend penurunan pasaran,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini