Kemasukan Tahun Satu usia enam tahun wajib mulai 2029 - Utusan Malaysia

Kemasukan Tahun Satu usia enam tahun wajib mulai 2029

MOHD Azam Ahmad ketika sesi taklimat bersama media di Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu akan dicadang untuk diwajibkan mulai 2029 selepas Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan tempoh peralihan secara pilihan kepada ibu bapa pada 2027 dan 2028.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tempoh berkenaan akan digunakan untuk memastikan semua persiapan termasuk kemudahan infrastruktur, kurikulum dan latihan guru berada pada tahap bersedia sebelum pelaksanaan secara wajib.

Menurutnya, usaha persediaan telah dimulakan sejak sekarang dan tidak akan dihentikan sepanjang tempoh peralihan itu bagi memastikan perancangan berkenaan dapat dilaksanakan mengikut sasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari aspek infrastruktur, KPM menggunakan pendekatan pembinaan bilik darjah modular yang membolehkan keperluan ruang pembelajaran disediakan dalam tempoh lebih singkat, selain mengoptimumkan penggunaan bilik darjah dan kapasiti prasekolah sedia ada.

“Kurikulum baharu juga telah disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun, manakala latihan guru turut diperkukuh bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran pedagogi bersesuaian untuk mengendalikan murid pada peringkat usia berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat KPM bersama media di sini hari ini.

Setakat ini, seramai 73,498 permohonan membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun yang memasuki tahun satu, sementara 418,151 lagi daripada kohort usia tujuh tahun.

Jumlah itu mencatatkan keseluruhan seramai 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 diterima setakat 30 September lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Azam berkata, pelaksanaan dasar wajib kemasukan Tahun Satu bagi umur enam tahun akan turut melibatkan keperluan meminda Akta Pendidikan 1966 (Akta 550).

Jelasnya, perancangan untuk melaksanakan pembaharuan sistem pendidikan formal sehingga peringkat remaja sebenarnya telah dibincangkan sejak 2017 menerusi penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta penelitian terhadap laporan antarabangsa.

Ketika itu, katanya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum perubahan besar dapat dilaksanakan, antaranya keadaan ekonomi negara, kesiapsiagaan infrastruktur serta kemahuan politik (political will) untuk membuat komitmen terhadap reformasi berkenaan.

Selain itu, katanya, perubahan itu sebagai sebahagian daripada persediaan sistem pendidikan negara menghadapi cabaran masa depan termasuk perubahan demografi, negara menua, perubahan iklim dan perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi proses pembelajaran kanak-kanak.

“KPM turut mahu memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang, akses dan kesaksamaan pendidikan yang sama, tanpa bergantung kepada peluang individu untuk mengikuti program tertentu seperti ‘kelas lompat tahun’ yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini