Kastam tahan kapal, rampas rokok seludup RM27 juta - Utusan Malaysia

Kastam tahan kapal, rampas rokok seludup RM27 juta

AMINUL Izmeer Mohd Sohaimi menunjukkan sebahagian dari rampasan rokok pelbagai jenama semasa sidang akhbar di Jeti Marin Kompleks Penguatkuasa Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup hampir 30 juta batang rokok pelbagai jenama dengan nilai sitaan termasuk cukai hampir RM27 juta.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan sebuah kapal pada pukul 11.40 pagi di perairan Pengerang, di sini pada 21 Oktober lalu.

Beliau berkata, kapal yang bergerak dari Kemboja itu ditahan anggota Operasi Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kastam Johor Bahru dengan hasil perkongsian maklumat daripada Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan ke atas kapal berkenaan menemukan sebanyak 29,916,000 batang rokok disyaki tidak berkastam bernilai RM5,984,000.

“Anggaran duti dan cukai yang terlibat pula sebanyak RM21,000,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai berjumlah RM26,984,000,” katanya semasa sidang akhbar di Jeti Marin, Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, di sini hari ini.

Aminul Izmeer berkata, susulan rampasan itu, kapal terbabit bersama lapan kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, rokok merupakan barang larangan import di bawah Butiran I, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kapal dari Kemboja yang menuju ke Malaysia itu tidak membawa muatan lain, hanya rokok yang tidak bercukai. Kami percaya ini adalah kes pertama membabitkan kapal tersebut.

“Pengimportannya memerlukan lesen import serta setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam mengikut Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” jelasnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan import. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini